Sesi Taklimat Training of Trainers (TOT) Penggunaan Sistem Tempahan Fasiliti

SEREMBAN, 25 Februari 2026 – Satu Sesi Taklimat Training of Trainers (TOT) Penggunaan Sistem Tempahan Fasiliti serta Kaedah Pembayaran melalui JomPAY dan Sistem I-Payment telah diadakan pada 24 hingga 25 Februari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 1, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSN).
Taklimat ini dianjurkan sebagai langkah proaktif dalam memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui pendigitalan, khususnya dalam aspek pengurusan tempahan fasiliti dan kaedah terimaan bayaran secara elektronik.
Antara objektif utama penganjuran sesi TOT ini adalah bagi menyediakan sistem terimaan elektronik (I-Payment) untuk kegunaan semua Pejabat Pemungut di Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan. Selain itu, ia bertujuan meningkatkan penggunaan kaedah e-pembayaran bagi semua perkhidmatan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap transaksi dilaksanakan secara cekap, telus dan tepat pada masa, seterusnya menjadikan sistem ini sebagai gerbang pembayaran utama bagi agensi kerajaan.
Sepanjang dua hari program berlangsung, para peserta telah diberi penerangan terperinci berkaitan tatacara penggunaan Sistem Tempahan Fasiliti, kaedah pelaksanaan pembayaran melalui JomPAY serta pengoperasian Sistem IPayment. Penekanan turut diberikan terhadap aspek pematuhan prosedur kewangan, keselamatan transaksi dan penyelarasan rekod terimaan bagi memastikan pelaksanaan yang sistematik dan berintegriti.
Sesi taklimat ini telah disampaikan oleh Encik Anuar Bin Hamid dari Cawangan Pembangunan Fasiliti JBSN, Puan Nadzirah Binti Zulkifli dari Cawangan Kewangan JBSN serta Cik Nurul Huda Binti Abd Aziz selaku Pentadbir I-Payment. Penyampaian yang komprehensif dan interaktif ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami secara menyeluruh fungsi sistem serta tatacara pelaksanaannya di peringkat jabatan masing-masing.
Hadir mewakili PBSD Kuala Pilah ialah Tuan Haji Syaiful Azlan dan Puan Normusliza Mohamad sebagai peserta dan wakil jabatan. Selain itu, En. Zul Fadli Ahmad, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah, turut hadir menjenguk seketika sesi taklimat tersebut sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif pendigitalan perkhidmatan ini.
Penganjuran sesi ini diharapkan dapat melahirkan tenaga pengajar dalaman (trainer) yang kompeten bagi membimbing pegawai dan kakitangan di peringkat daerah serta memastikan pelaksanaan sistem tempahan fasiliti dan kaedah pembayaran elektronik dapat dilaksanakan secara menyeluruh, efisien dan selaras dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam negara.

Image
D/A Kompleks Belia Dan Sukan Paroi
70400 Seremban Negeri Sembilan
Tel : 06-7613163/06-7641480 | Fax : 06-7625569

jbsn9@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-n9

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 25-03-2026, 08:57:50

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search