*Land Navigation Race Cipta Sejarah, Julung Kali Dianjurkan di Malaysia*

Kuala Pilah, 25 Januari 2025 – Program Land Navigation Race yang berlangsung pada 24 hingga 25 Januari 2025 di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah dan Padang Awam Seri Menanti, Kuala Pilah telah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai program navigasi darat pertama seumpamanya dianjurkan di Malaysia.
Program berkonsepkan cabaran navigasi darat ini berjaya menarik penyertaan 45 pasukan dari pelbagai negeri serta latar belakang, termasuk penggiat aktiviti lasak dan pencinta sukan luar. Setiap pasukan diuji dengan kemahiran membaca peta, penggunaan kompas tanpa sebarang peralatan moden seperti GPS, ketahanan fizikal serta keupayaan membuat keputusan dalam tempoh masa yang ditetapkan merentasi laluan dan lokasi yang mencabar.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Puan Nurafeera binti Asli, Penolong Pegawai Daerah Kuala Pilah, yang turut diiringi oleh Encik Mohd Zul Fadli bin Ahmad, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah. Dalam ucapannya, Puan Nurafeera merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif memperkenalkan program berimpak tinggi yang bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental peserta, malah memupuk nilai kepimpinan, kerjasama berpasukan dan disiplin diri.
Menurut beliau, penganjuran program seperti ini mampu menjadi platform pembangunan belia yang sihat serta berpotensi untuk diperluaskan ke peringkat yang lebih besar pada masa hadapan.
Sepanjang dua hari penganjuran, suasana pertandingan berlangsung dengan penuh semangat dan disiplin, disertai sokongan padu daripada pihak urus setia serta komuniti setempat. Kejayaan Land Navigation Race ini diharap dapat menjadi pencetus kepada penganjuran lebih banyak program sukan lasak dan navigasi darat di Malaysia, sekali gus mengangkat Kuala Pilah sebagai antara lokasi strategik bagi aktiviti luar berkonsepkan pendidikan dan cabaran.
Sebanyak dua kategori pertandingan dipertandingkan iaitu Explorer dan Expedition yang mana bagi kategori dimenangi oleh pasukan dari Rookie adventure Team manakala kategori Expedition telah dimenangi oleh pasukan dari Skomad K2.
Program anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah dan Kelab Mapland ini adalah bersempena dengan Sambutan hari Keputeraan ke-78 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tahun 2026 bermula pada 14 sehingga 31 Januari 2026 di sekitar kawasan Padang Awam Seri Menanti, Kuala Pilah.
Keputusan penuh :
Kategori Expedition
1st – Skomad K2
2nd – Kamikaze Silva 1
3rd – Skomad Adventure
Kategori Explorer
1st – Rookie Adventure
2nd – Ysandle Malaysia
3rd – KIPRUN - Decathlon

Image
D/A Kompleks Belia Dan Sukan Paroi
70400 Seremban Negeri Sembilan
Tel : 06-7613163/06-7641480 | Fax : 06-7625569

jbsn9@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-n9

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-02-2026, 11:34:59

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search