- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 50
HARI KESUKARELAWANAN BELIA MALAYSIA (HKBM) TAHUN 2025 PERINGKAT NEGERI SEMBILAN
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 50
LABU, 6 Disember 2025 – Suasana meriah dan penuh semangat sukarelawan menyelubungi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Labu apabila lebih 100 peserta hadir menyertai Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) 2025 peringkat Negeri Sembilan. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang prihatin, bertanggungjawab dan peka terhadap isu sekeliling.
Program HKBM tahun ini tampil lebih segar dengan pelbagai aktiviti berfokuskan kelestarian alam dan pembinaan komuniti. Antara tarikan utama ialah “Trash to Cash”, yang menggalakkan masyarakat membawa barangan kitar semula seperti plastik, tin aluminium, kertas, kotak, logam, surat khabar serta minyak masak terpakai untuk ditukarkan kepada wang tunai.
Selain itu, para peserta turut terlibat dalam aktiviti menanam anak pokok, pertandingan memasak, sukaneka, serta gotong-royong yang dijalankan secara santai namun penuh nilai kebersamaan dan kerjasama. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara komuniti, malah memperkukuh nilai sukarelawan di peringkat akar umbi.
Penyertaan program pada tahun ini turut dimeriahkan dengan kehadiran sukarelawan daripada Persatuan Belia Berkemahiran Rasah serta sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang bersama-sama menjayakan setiap aktiviti dengan penuh komitmen dan semangat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, antaranya Encik Ahmad Syariffuddin bin Sarmin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Encik Mohd Fadhli bin Abdul Rahman, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seremban, Puan Areda binti Sidik, Pegawai SWCorp Negeri Sembilan, Encik Mohd Zarul Ezzry Bin Mat Amir, Pengerusi Persatuan Belia Berkemahiran Rasah, Encik Alias bin Sharif, Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Labu, Puan Raja Nor Shazwana, Penyelia Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Labu.
Turut hadir ialah kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan serta para sukarelawan dari pelbagai agensi dan komuniti setempat yang memberikan sokongan penuh sepanjang program berlangsung.
Dalam ucapan penghargaan pihak Jabatan menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua individu, agensi dan sukarelawan yang telah menjayakan HKBM 2025. Harapan turut disampaikan agar semangat kesukarelawanan terus berkembang dalam kalangan belia demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara pada masa hadapan.
Hannah Yeoh
Adam Adli
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
#yakinboleh
#rakanmuda
#HKBM2025
#teamJBSN9
#teamJBSN
