- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 34
BONGEK MERIAH - SEMARAKKAN GAYA HIDUP SIHAT
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 34
KOTA, 12 Oktober 2025 (Ahad) – Suasana penuh ceria dan semangat kesukanan mewarnai perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bongek dan sekitar kampung apabila berlangsungnya Program 10,000 Langkah Kg. Bongek, Kejohanan Sukan Tahunan dan Sambutan Hari Sukan Negara SK Bongek 2025 hari ini.
Majlis Perasmian dan Penutup telah disempurnakan oleh YB. Suhaimi bin Aini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kota, yang turut bersama warga sekolah, ibu bapa dan penduduk setempat bagi menjayakan program yang menggabungkan elemen kecergasan, kesihatan dan perpaduan masyarakat.
Dalam ucapan penutupnya, YB. Tuan Suhaimi menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah dan komuniti atas inisiatif menganjurkan program yang menyatukan masyarakat melalui aktiviti sihat dan riadah.
“Hari Sukan Negara merupakan platform terbaik untuk menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat. Penganjuran di peringkat komuniti seperti ini membuktikan kesedaran terhadap pentingnya kesihatan dan perpaduan semakin meningkat,” ujar beliau.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rembau telah diberikan kepercayaan untuk menyediakan instruktur senamrobik (Kelab Senamrobik Aura Sihat) yang berjaya menceriakan suasana dengan sesi pemanasan badan yang penuh bertenaga sebelum pelepasan peserta 10,000 melibatkan murid, guru, ibu bapa dan penduduk kampung. Acara diteruskan dengan perbarisan kontijen rumah sukan dan pelbagai pertandingan acara Kejohanan Sukan Tahunan SK Bongek, yang menampilkan semangat kesukanan tinggi dalam kalangan murid. Turut diadakan acara sukaneka serta cabutan bertuah sebagai tarikan tambahan untuk para pengunjung.
Guru Besar SK Bongek, Tuan Haji Arshad bin Mohammad Noh menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya PBSD Rembau dan komuniti setempat atas sokongan padu dalam menjayakan program ini.
“Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama, terutama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rembau atas bantuan teknikal dan tenaga pengajar senamrobik yang menyerikan lagi sambutan tahun ini,” katanya.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan serta penghargaan kepada pihak yang menjayakan program.
Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara sekolah dan komuniti, tetapi turut menyemarakkan semangat kesihatan, kecergasan dan perpaduan dalam kalangan warga Kg. Bongek selaras dengan tema Hari Sukan Negara 2025 : “Malaysia Aktif.”
Hannah Yeoh
Adam Adli
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
JBS Negeri Sembilan
#teamKBS
#TeamJBSN
#teamJBSN9
#teamPBSDR
#rakanmuda
#RakanMudaAktif
#RakanAktif
#sekebon
