Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Peringkat Negeri Sembilan 2025

SEREMBAN, 1 Oktober 2025 – Seramai 383 peserta telah diraikan dalam Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Peringkat Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Encik Muazamir bin Jili, Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Daripada jumlah keseluruhan peserta, 146 orang menerima pentauliahan Tahap Perak, manakala 237 orang lagi menerima pentauliahan Tahap Gangsa.
Dalam ucapannya, Encik Muazamir menekankan bahawa program ARPRM merupakan satu platform penting dalam membentuk generasi belia yang berdaya tahan, berdisiplin serta berkemahiran pelbagai seiring dengan aspirasi negara. Beliau turut menyeru para belia agar terus aktif menyertai pelbagai aktiviti di bawah inisiatif Rakan Muda bagi meningkatkan potensi diri serta memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
Majlis pentauliahan ini turut dihadiri oleh Encik Ahmad Syariffuddin bin Sarmin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Puan Ernidiyana binti Esmaon, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, pemimpin -pemimpin, mentor, pengetua sekolah, pegawai-pegawai pejabat belia dan sukan daerah serta ibu bapa peserta yang hadir memberikan sokongan moral kepada penerima pentauliahan.
Program ARPRM yang berada di bawah jenama Rakan Muda ini terus menjadi wadah pembinaan sahsiah dan jati diri belia melalui pengiktirafan pencapaian dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran, khidmat masyarakat, rekreasi serta ketahanan diri.
Dengan pentauliahan ini, para peserta diharap dapat terus melangkah ke tahap yang lebih tinggi, termasuk tahap Emas, seterusnya menjadi belia contoh yang mampu memberi inspirasi kepada rakan sebaya.
#rakanmuda
#arprmnegerisembilan
#rakanekspresi
#yakinboleh

Image
D/A Kompleks Belia Dan Sukan Paroi
70400 Seremban Negeri Sembilan
Tel : 06-7613163/06-7641480 | Fax : 06-7625569

jbsn9@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-n9

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-02-2026, 15:28:53

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search