- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 30
Program Malaysia Aktif @Komuniti Daerah Port Dickson 2025 (Siri 10) Santuni Komuniti Orang Asli
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 30
Port Dickson, 31 Ogos – Program Malaysia Aktif @Komuniti Daerah Port Dickson 2025 (Siri 10) anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Port Dickson dengan kerjasama KEFA Aerofitt Sports Club (KEFA) telah berlangsung dengan meriah di Balairaya Kampung Orang Asli Bukit Kepong, bersempena Program JIWA Madani Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Port Dickson bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Kebajikan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bukit Kepong.
Program ini dirasmikan oleh YB Datuk Mohd Faizal Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Linggi, yang menekankan kepentingan semangat patriotisme dan perpaduan serta gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Beliau turut menyeru agar Komuniti Orang Asli terus bersama-sama mendukung aspirasi kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui penglibatan aktif dalam program sukan dan kemasyarakatan.
Pengisian utama Program Malaysia Aktif @Komuniti ialah sesi senamrobik yang berlangsung selama 45 minit melibatkan pemanasan badan selama 5 minit dan aerodance selama 40 minit. Sesi senamrobik ini dipimpin oleh Coach Zarina Harun dan barisan instruktor kecergasan bertauliah dari KEFA. Aktiviti ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat termasuk golongan wanita, belia, kanak-kanak dan warga emas.
Pihak Pejabat Penerangan Daerah Port Dickson telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik berkaitan kemerdekaan seperti Taklimat JIWA Madani yang disampaikan oleh Puan Azuraini Abd Majid, Pegawai Penerangan Daerah Port Dickson. Selain itu Pertandingan Mewarna Kanak-kanak serta Pertandingan Rumah Merdeka turut berjaya menceriakan lagi suasana sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. YB Datuk Mohd Faizal Ramli telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas penyertaan kreatif dan semangat patriotik yang ditonjolkan.
Penganjuran siri ke-10 ini membuktikan komitmen PBSD Port Dickson dan rakan strategik KEFA dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti Orang Asli, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membina masyarakat sejahtera, aktif dan bersatu padu.
Turut hadir memeriahkan program ini ialah Batin Omar Gomeng selaku Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Puan Siti Alifah Hamzah dari PBSD Port Dickson, Puan Shikin Ariffin dari Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau serta kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Port Dickson.
Di akhir program, YB Datuk Mohd Faizal Ramli bersama semua yang hadir telah menyanyikan lagu Jalur Gemilang dengan penuh bersemangat sambil mengibarkan bendera Malaysia sebagai simbolik kepada sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke68.
Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-68, Malaysia
Hannah Yeoh
Adam Adli
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia JBS Negeri Sembilan
KEFA Group Official Pejabat Penerangan Daerah PD Jakoa Negeri Sembilan Melaka
#JBSN #JBSNBersama #RoadToHSN2025
#TeamPBSDPortDickson #TeamUnitSukan
#TeamKBS #TeamJBSNS
#YakinBoleh #RakanMuda
#KEFAxKOABukitKepong #PeneranganPD