- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 52
GPK KOKO PORT DICKSON HADIR TAKLIMAT ARPRM
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 52
Port Dickson, 29 April - Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Port Dickson dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Port Dickson telah mengadakan satu sesi Taklimat Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) kepada Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum (GPK KOKO) pada 28 April 2025 bertempat di PPD Port Dickson.
Sesi taklimat yang dihadiri oleh semua GPK KOKO dari 13 Sekolah Menengah di daerah Port Dickson ini telah dimulakan oleh Encik Mohd Azam Zakaria, Pegawai Unit Rakan Muda, PBSD Port Dickson dengan tayangan video ARPRM bagi menarik minat para audien. Taklimat diteruskan dengan pembentangan komponen-komponen serta syarat-syarat pelaksanaan. Selain itu, beliau juga memaklumkan kelebihan serta kepentingan ARPRM kepada peserta iaitu para pelajar sekolah yang berumur 15 tahun ke atas.
Sesi taklimat ini turut dibantu oleh Puan Siti Alifah Hamzah, Pegawai Unit Sukan PBSD Port Dickson dengan memberikan penerangan berkaitan Sistem Prolog ARPRM di mana mulai tahun 2025 semua penyertaan di setiap tahap pingat perlu direkod melalui atas talian.
Konsep taklimat adalah menggunakan kaedah komunikasi dua hala bagi membolehkan para GPK KOKO bersoal jawab di setiap peringkat penerangan. Pelbagai soalan telah dilontarkan sepanjang sesi taklimat oleh GPK KOKO diharapkan dapat mengukuhkan lagi kefahaman mereka berkaitan pelaksanaan program ARPRM.
Di akhir sesi, PBSD Port Dickson telah menjemput Encik Dineshkumar Narayanasamy dari Majlis Belia Daerah (MBD) Port Dickson selaku Pemegang ARPRM Tahap Emas dan juga Pemimpin Tahap Emas ARPRM untuk berkongsi maklumat serta pengalaman beliau sepanjang menjalankan program ini. Beliau berkongsi bagaimana beliau memulakan ARPRM dan bagaimana ARPRM mengubah kehidupan beliau dari seorang pelajar yang introvert kepada seorang yang telah berjaya dan mampu mencapai banyak kejayaan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa selepas bergelar Pemegang Tahap Emas ARPRM. Menurut beliau, kata-kata hikmat ini "It's not where you start, but how high you aim that matters for success." sentiasa tersemat di dalam hatinya dan menjadi pedoman hidupnya dalam mencapai kejayaan.
Perkongsian pengalaman Pemegang Tahap Emas yang merupakan anak jati Port Dickson dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, Port Dickson ini sedikit sebanyak telah memberikan kesan dan semangat kepada para GPK KOKO dalam menjayakan program ARPRM ini di sekolah masing-masing.
Di akhir sesi, Encik Mohd Azam Zakaria telah mengalu-alukan semua GPK KOKO untuk terlibat dan menjalankan program ARPRM di peringkat sekolah. Beliau menambah, pihak PBSD Port Dickson bersama MBD Port Dickson dan Badan Operasi ARPRM bersedia untuk membantu pihak sekolah bagi menjayakan program ini.
Turut hadir bersama dalam sesi taklimat ini ialah Encik Ishak Mohd Nor, Timbalan PPD Bahagian Pembangunan Murid, Puan Rohaliza Mat Yasim, Penolong Pegawai PPD (Unit Prasekolah dan Rendah) dan Encik Khairi Kamaruddin, Pengerusi MBD Port Dickson bersama Encik Kevin Kandasamy, Ahli Jawatankuasa MBD Port Dickson.
#JBSN #JBSNBersama
#TeamPBSDPortDickson
#TeamKBS #TeamMAS #TeamJBSNS
#YakinBoleh #RakanMuda #ARPRM
#MBDPortDickson #MenggerakBelia