PERSATUAN PENDUDUK TAMAN VISTA JAYA "TERJAH" PBSD PORT DICKSON

Port Dickson, 29 April - Pada 28 April 2025, Tuan Haji Jamaluddin Arshad selaku Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Vista Jaya (PPTVJ), Port Dickson bersama barisan jawatankuasanya telah hadir ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Port Dickson untuk Sesi Kunjungan Hormat kepada Pegawai Belia dan Sukan Daerah Port Dickson yang baharu, Encik Mohd Faizal Mohd Arif serta kakitangan PBSD Port Dickson.
Tuan Haji Jamaluddin Arshad telah memperkenalkan dirinya serta ahli jawatankuasa persatuan tersebut dan membentangkan misi/visi persatuan serta aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan melalui penubuhan persatuan penduduk ini. Beliau menambah, terdapat pelbagai prasarana sedia ada di kawasan perumahan ini seperti taman permainan, tangki air dan padang terbuka untuk kegunaan penduduk di situ.
Menurut Tuan Haji Jamaluddin Arshad, PPTVJ yang terletak di Lukut, Port Dickson ini mempunyai ahli sebanyak lebih kurang 200 buah keluarga yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Kebanyakkan penduduk di taman perumahan ini ialah pesara tentera, penjawat awam di sekitar Port Dickson dan ada yang bekerja sendiri.
Selain dari membuat kunjungan hormat, beliau turut menyatakan hasrat kepada PBSD Port Dickson untuk membantu persatuan penduduk ini menubuhkan persatuan belia atau kelab sukan, mana-mana yang bersesuaian serta memberi pendedahan tentang kepentingan dan kelebihan menyertai program-program anjuran PBSD Port Dickson. Beliau memaklumkan terdapat seramai 40 orang penduduk yang berumur di antara 15 hingga 30 tahun di kawasan perumahan itu.
Encik Mohd Faizal Mohd Arif menyambut baik serta mengalu-alukan kunjungan hormat yang diadakan oleh PPTVJ ini. Beliau mengucapkan terima kasih di atas kesudian dan hasrat serta semangat PPTVJ untuk membentuk keperibadian anak muda melalui persatuan belia/kelab sukan. Justeru itu, beliau memaklumkan bahawa PBSD Port Dickson amat berbesar hati membantu PPTVJ ini untuk menubuhkan persatuan belia/sukan demi kepentingan pembangunan belia setempat.
Di akhir sesi, kata putus telah dicapai bersama iaitu penubuhan persatuan belia di Taman Vista Jaya perlu dijayakan dalam masa terdekat. Semoga dengan penubuhan tersebut dapat memberikan impak dan manfaat kepada para penduduk terutamanya golongan belia.
#JBSN #JBSNBersama
#TeamPBSDPortDickson
#TeamKBS #TeamJBSNS

Image
D/A Kompleks Belia Dan Sukan Paroi
70400 Seremban Negeri Sembilan
Tel : 06-7613163/06-7641480 | Fax : 06-7625569

jbsn9@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-n9

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 10-10-2025, 16:05:03

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search