- JBS Kelantan
- Hits: 9
THE BIGGEST LOSER PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2026 CATAT PENURUNAN BERAT BADAN MEMBERANGSANGKAN
- JBS Kelantan
- Hits: 9
KOTA BHARU, 10 Oktober 2026 – Program The Biggest Loser Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 melabuhkan tirainya dengan Majlis Penyampaian Hadiah yang berlangsung hari ini bersempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 di AEON Mall Kota Bharu.
Program yang berlangsung dari 2 Mei hingga 5 September 2026 ini bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan melalui aktiviti fizikal secara konsisten.
Sepanjang tempoh pelaksanaan, pelbagai sesi dan aktiviti telah diadakan bagi membimbing peserta meningkatkan kecergasan diri, membina motivasi serta memupuk disiplin dalam mengamalkan gaya hidup sihat. Program ini turut menjadi platform kepada peserta untuk berusaha mencapai matlamat kesihatan masing-masing melalui komitmen dan perubahan gaya hidup yang lebih baik.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, sebagai pengiktirafan terhadap usaha, kesungguhan dan pencapaian para peserta sepanjang menyertai program berkenaan.
Bagi kategori lelaki, Muhammad Farhan bin Mat Rahim muncul sebagai johan dengan penurunan berat badan sebanyak 25.9 kilogram dan menerima hadiah wang tunai RM1,500. Naib johan disandang oleh Mohd Zulkarnaeen bin Mohd Yusoff dengan penurunan sebanyak 20.30 kilogram yang membawa pulang wang tunai RM800, manakala tempat ketiga menjadi milik Mohd Omar bin Mohd Hakim dengan penurunan sebanyak 20 kilogram dan menerima wang tunai RM300.
Sementara itu, bagi kategori wanita, Rosnida binti Che Rahim dinobatkan sebagai johan dengan penurunan berat badan sebanyak 23.6 kilogram dan menerima hadiah wang tunai RM1,500. Tempat kedua dimenangi oleh Ismalina binti Ismail dengan penurunan sebanyak 22.6 kilogram, manakala tempat ketiga disandang oleh Aina Marha Maisarah binti Hamka dengan penurunan sebanyak 16.9 kilogram. Kedua-dua pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM800 dan RM300 mengikut kedudukan.
Pencapaian para pemenang membuktikan bahawa komitmen, disiplin dan usaha berterusan memainkan peranan penting dalam membentuk amalan hidup yang lebih sihat. Kejayaan mereka diharap dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Penganjuran The Biggest Loser Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 turut menyokong aspirasi Hari Sukan Negara dalam membudayakan sukan dan aktiviti fizikal dalam kalangan masyarakat, sekali gus melahirkan komuniti yang lebih aktif, cergas dan sejahtera.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMADANI #RakanMuda #HariSukanNegara #HSN2026 #MalaysiaAktif
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
JBSNegara
belia.my
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
