- JBS Kelantan
- Hits: 7
KEM BELIA @ RAKAN PRIHATIN PERINGKAT DAERAH JELI BERI INPUT POSITIF KEPADA PESERTA.
- JBS Kelantan
- Hits: 7
Jeli, 5 Oktober 2026 – Kem Belia Peringkat Daerah Jeli Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 28 hingga 30 September 2026 di Machang Riverview Campsite & Chalet (MRCC) berjaya menghimpunkan seramai 52 orang peserta yang daripada pelajar sekolah di daerah Jeli, dalam suasana pembelajaran, perkongsian ilmu dan pembentukan sahsiah yang lebih interaktif.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Jeli dan Majlis Belia Jajahan Jeli ini memberi penekanan terhadap pembangunan potensi diri, kepimpinan, disiplin, jati diri serta kesedaran belia terhadap cabaran semasa yang boleh mempengaruhi kehidupan dan masa depan mereka.
Sepanjang kem berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dirangka bagi meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, penyelesaian masalah serta keyakinan diri.
Pengisian turut diperkukuhkan menerusi sesi ceramah dan perkongsian ilmu daripada beberapa agensi strategik termasuk Institut Penyelidikan dan Pengurusan Belia (IYRES/IPSAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Kesihatan.
Sesi bersama agensi tersebut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pembangunan belia, keselamatan dan pencegahan jenayah, penyalahgunaan dadah serta kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri.
Menariknya, peserta turut berpeluang mengikuti sesi perkongsian pengalaman bersama Encik Mohd Jurik bin Ismail yang merupakan bekas Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Beliau telah memberikan suntikan motivasi serta perspektif berkaitan kepentingan pendidikan, pembentukan sahsiah dan usaha membina masa depan yang lebih baik.
Pendekatan yang menggabungkan aktiviti praktikal, perkongsian pengalaman dan input daripada agensi kerajaan ini memberi ruang kepada peserta untuk memahami bahawa pembangunan belia bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian akademik, malah turut merangkumi aspek kepimpinan, sahsiah, kesihatan, keselamatan dan tanggungjawab sosial.
Kem Belia ini turut menjadi platform untuk membina hubungan positif dalam kalangan peserta serta memupuk semangat saling menghormati, bekerjasama dan mengambil berat terhadap rakan serta komuniti.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli dalam memperkukuh pembangunan generasi muda melalui program yang bersifat holistik, berinformasi dan berorientasikan pengalaman.
Majlis perasmian penutup kem telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Hafizi bin Hanapi, Pegawai Belia dan sukan Daerah Jeli.
Diharapkan pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang tiga hari kem dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian dan seterusnya melahirkan belia yang berkeyakinan, berdisiplin, berdaya tahan, berilmu dan bersedia menjadi penggerak positif dalam komuniti.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal PBSD Jeli
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMADANI #RakanMuda #MalaysiaAktif
#Taufiq Johari
#Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
#KBSMalaysia
#JBSNegara
#belia.my ``
