- JBS Kelantan
- Hits: 25
KEM BELIA PERINGKAT DAERAH TUMPAT 2026 PERKASA JATI DIRI DAN KEPIMPINAN GENERASI MUDA
- JBS Kelantan
- Hits: 25
TUMPAT, 24 September 2026 – Kem Belia Peringkat Daerah Tumpat Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 20 hingga 22 September 2026 di Damai Village Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB) berjaya menghimpunkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada lima buah sekolah daerah Tumpat dalam suasana pembelajaran, perkongsian ilmu dan pembentukan sahsiah yang lebih interaktif.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat dan Kelab Anak Muda Bandar Tumpat ini memberi penekanan terhadap pembangunan potensi diri, kepimpinan, disiplin, jati diri serta kesedaran belia terhadap cabaran semasa yang boleh mempengaruhi kehidupan dan masa depan mereka.
Sepanjang kem berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dirangka bagi meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, penyelesaian masalah serta keyakinan diri.
Pengisian turut diperkukuhkan menerusi sesi ceramah dan perkongsian ilmu daripada beberapa agensi strategik termasuk Institut Penyelidikan dan Pengurusan Belia (IYRES/IPSAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Kesihatan.
Sesi bersama agensi tersebut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pembangunan belia, keselamatan dan pencegahan jenayah, penyalahgunaan dadah serta kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri.
Menariknya, peserta turut berpeluang mengikuti sesi perkongsian pengalaman bersama Encik Kamaruzaman bin Mohd Yusof yang merupakan bekas mentor Pemimpin Anugerah Remaja Perdana (ARPRM). Beliau telah memberikan suntikan motivasi serta perspektif berkaitan kepentingan pendidikan, pembentukan sahsiah dan usaha membina masa depan yang lebih baik.
Pendekatan yang menggabungkan aktiviti praktikal, perkongsian pengalaman dan input daripada agensi kerajaan ini memberi ruang kepada peserta untuk memahami bahawa pembangunan belia bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian akademik, malah turut merangkumi aspek kepimpinan, sahsiah, kesihatan, keselamatan dan tanggungjawab sosial.
Kem Belia ini turut menjadi platform untuk membina hubungan positif dalam kalangan peserta serta memupuk semangat saling menghormati, bekerjasama dan mengambil berat terhadap rakan serta komuniti.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat dalam memperkukuh pembangunan generasi muda melalui program yang bersifat holistik, berinformasi dan berorientasikan pengalaman.
Majlis perasmian penutup kem telah disempurnakan oleh Encik Muhammad Asmadi bin Husain, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat.
Diharapkan pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang tiga hari kem dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian dan seterusnya melahirkan belia yang berkeyakinan, berdisiplin, berdaya tahan, berilmu dan bersedia menjadi penggerak positif dalam komuniti.
#TeamKBS #TeamJBSN #SukanUntukSemua #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #RakanMuda #YakinBoleh
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
Rakan Muda
KBSMalaysia
Disediakan oleh: Urus Setia Portal PBSD Tumpat
