MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN KEBANGSAAN DEWAN SISWA GURU IPG KAMPUS KOTA BHARU DAN PEMBUKAAN SIDANG 2026

Kota Bharu, 20 Julai 2026 – Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Dewan Siswa Guru (DSG) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu dan Pembukaan Sidang 2026 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh tertib, berprestij dan bersemangat. Program ini menghimpunkan barisan kepimpinan mahasiswa guru serta perwakilan Dewan Siswa Guru bagi membincangkan pelbagai agenda berkaitan kepimpinan, kebajikan mahasiswa dan pembangunan profesionalisme bakal pendidik.

Majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat, diikuti nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Kelantan, bacaan doa serta ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua Dewan Siswa Guru IPG Kampus Kota Bharu.

Majlis telah dirasmikan oleh Encik Mohd Saippuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha Dewan Siswa Guru dalam menyediakan platform yang menggalakkan amalan demokrasi, kepimpinan serta pembangunan sahsiah mahasiswa guru. Beliau turut menyeru agar bakal pendidik sentiasa mengamalkan nilai integriti, semangat kesukarelawanan, daya kepimpinan dan budaya kerja berpasukan dalam mendepani cabaran dunia pendidikan yang semakin dinamik.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Puan Narita Binti Mohd Noor, yang hadir buat julung kalinya selepas pelantikan beliau sebagai Pengarah IPGM Kampus Kota Bharu, serta Dr. Mohd Rozi bin Ismail, Timbalan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu. Kehadiran kedua-dua pemimpin institusi ini mencerminkan komitmen pihak pengurusan dalam menyokong pembangunan kepimpinan mahasiswa guru serta memperkukuh hubungan antara pentadbiran dan warga kampus.

Kemuncak majlis menyaksikan gimik perasmian yang menandakan pembukaan rasmi Persidangan Kebangsaan Dewan Siswa Guru dan Sidang 2026. Persidangan ini menjadi medan penting bagi para perwakilan untuk mengemukakan usul, berkongsi pandangan dan membincangkan pelbagai isu yang memberi manfaat kepada warga Institut Pendidikan Guru. Persidangan ini juga diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara Dewan Siswa Guru di peringkat kebangsaan serta melahirkan pemimpin mahasiswa yang berwibawa, berintegriti dan berpandangan jauh.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebagai simbolik penghargaan kepada tetamu kehormat, para perwakilan dan jawatankuasa pelaksana yang telah menjayakan program. Diharapkan Persidangan Kebangsaan Dewan Siswa Guru IPG Kampus Kota Bharu dan Pembukaan Sidang 2026 akan terus menjadi wadah penting dalam memperkasa kepimpinan mahasiswa guru serta menyokong aspirasi pendidikan negara untuk melahirkan pendidik yang berkualiti, berdaya saing dan berjiwa kepimpinan.

Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Rakan Muda

#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMADANI #RakanMuda #MalaysiaAktif

#RakanDemokrasi
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
JBSNegara

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 16-10-2026, 21:41:59

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search