- JBS Kelantan
- Hits: 5
PPO PERKUKUH KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN ORGANISASI BELIA DI KUALA KRAI
- JBS Kelantan
- Hits: 5
Seramai 30 peserta daripada pelbagai pertubuhan belia di daerah Kuala Krai menyertai Program Pengurusan Organisasi (PPO) Peringkat Daerah Kuala Krai 2026 yang berlangsung pada 30 Julai hingga 1 Ogos di Chalet Cinta Al-Falah, Kampung Tualang.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai dengan kerjasama Kelab Rakan Muda Bandar Krai itu bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepimpinan belia dalam aspek pengurusan organisasi melalui latihan serta pengalaman praktikal.
Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai modul yang memberi pendedahan kepada amalan terbaik dalam pengurusan organisasi, pembangunan kepimpinan, komunikasi berkesan serta pengurusan aktiviti dan program. Peserta turut didedahkan kepada latihan praktikal yang bertujuan memperkukuh kemahiran mengurus organisasi belia dengan lebih berkesan.
Selain itu, program berkenaan menjadi platform kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, memperluas jaringan kerjasama serta bertukar pandangan dengan wakil pertubuhan belia yang lain. Semua modul dan aktiviti dikendalikan oleh Pegawai Belia dan Sukan yang bertauliah dalam bidang pengurusan organisasi pertubuhan belia.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Tim. Pengarah (Belia) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Puan Nurdalila binti Mohamad Khali. Dalam ucapannya, beliau berkata organisasi belia yang mantap memerlukan barisan kepimpinan yang bukan sahaja mempunyai semangat kesukarelawanan, malah berpengetahuan dalam aspek pengurusan organisasi, komunikasi, kewangan dan pelaksanaan program secara sistematik. Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai, Puan Rosnani binti Haji Abdullah Zawawi.
Penganjuran PPO merupakan antara inisiatif Kementerian Belia dan Sukan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara bagi memperkasa kapasiti kepimpinan belia serta meningkatkan keupayaan pertubuhan belia dalam tadbir urus organisasi yang lebih cekap, berintegriti dan berkesan.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
