- JBS Kelantan
- Hits: 12
MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGARA DAERAH PASIR PUTEH PERKUKUH AGENDA PEMBANGUNAN BELIA SECARA INKLUSIF
- JBS Kelantan
- Hits: 12
PASIR PUTEH, 14 JULAI 2026 – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Pasir Puteh telah berjaya diadakan pada 12 Julai 2026 bertempat di Bilik Gerakan, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dengan kehadiran ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan, wakil persatuan, kelab belia serta badan-badan gabungan di daerah ini.
Persidangan ini bertujuan menyediakan platform perbincangan yang konstruktif dan inklusif dalam merangka serta memperkukuh agenda pembangunan belia di peringkat daerah. Melalui sesi perbincangan ini, pelbagai pandangan, cadangan dan isu berkaitan pembangunan belia dibincangkan secara bersama bagi memastikan pelaksanaan program serta dasar yang lebih berkesan dan memenuhi keperluan golongan belia setempat.
Persidangan ini telah dipengerusikan oleh YABrs. Encik Mohd Kamarulzaman bin Ab Wahab, Ketua Jajahan Pasir Puteh merangkap Pengerusi Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Daerah Pasir Puteh. Turut hadir ialah Encik Amreezal bin Abd Kadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh serta Encik Mohd Rozani bin Mohd Rosli, Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Pasir Puteh.
Antara pengisian utama persidangan ialah majlis penyampaian Watikah Pelantikan kepada wakil-wakil agensi kerajaan, persatuan dan badan gabungan yang menganggotai MPBN Daerah Pasir Puteh sebagai tanda pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam memperkasakan pembangunan belia di daerah ini.
Persidangan turut diserikan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk "Insentif Pertanian kepada Belia" oleh Encik Alif bin Yahya, Pegawai Pertanian Daerah Pasir Puteh. Pembentangan tersebut menghuraikan pelbagai bentuk insentif, bantuan, latihan serta peluang yang disediakan kepada golongan belia untuk menceburi sektor pertanian moden. Inisiatif ini dilihat mampu menarik lebih ramai belia menjadi usahawan tani yang berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi setempat.
Penganjuran MPBN Peringkat Daerah Pasir Puteh ini diharapkan dapat memperkukuhkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pertubuhan belia dan pemegang taruh dalam merancang serta melaksanakan inisiatif pembangunan belia yang lebih menyeluruh, mampan dan berimpak tinggi demi melahirkan generasi belia yang progresif, berdaya saing dan berwawasan.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
Rakan Muda
