- JBS Kelantan
- Hits: 27
KETUA SETIAUSAHA KBS SANTUNI WARGA PASIR MAS, TINJAU PEJABAT BAHARU DAN PERKUKUH PEMBANGUNAN BELIA SERTA SUKAN
- JBS Kelantan
- Hits: 27
PASIR MAS, 9 Julai 2026 – Komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkukuh pembangunan belia dan sukan di peringkat akar umbi terus dizahirkan menerusi Lawatan Kerja Rasmi Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato' Rahimi bin Ismail, ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas yang baharu di Lot 411 (Tingkat 1 & 2), Seksyen 1, Bandar Pasir Mas, 17000 Pasir Mas, Kelantan.
Lawatan yang berlangsung sempena Program Santuni MADANI itu menjadi platform penting kepada KBS untuk melihat sendiri perkembangan fasiliti dan pengurusan pejabat baharu, di samping meninjau kemudahan sukan serta mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu, cabaran dan keperluan masyarakat setempat berkaitan pembangunan belia dan sukan.
Dalam sesi lawatan tersebut, YBhg. Dato' Rahimi turut diberi taklimat mengenai fungsi dan operasi Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, selain berkongsi pandangan serta hala tuju KBS dalam memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti. Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara KBS, Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Turut mengiringi lawatan ialah Dr. Nazira binti Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Belia dan Sukan; Encik Amir Hamzah bin Awang Ghazali, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Belia dan Sukan; Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan; serta Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Lawatan kerja ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan kepimpinan tertinggi KBS terhadap pembangunan belia dan sukan di daerah, malah menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, inklusif dan berkesan. Pendekatan turun padang seperti ini juga membolehkan isu-isu di peringkat akar umbi dikenal pasti secara langsung, sekali gus membantu KBS merangka tindakan yang lebih tepat demi kesejahteraan masyarakat.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Kementerian Belia dan Sukan akan terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi di semua peringkat bagi memastikan pembangunan belia, sukan dan komuniti terus berkembang secara mampan serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
#TeamKBS#TeamJBSN#jbskelantan#MalaysiaMadani
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
JBSNegara
belia.my
