- JBS Kelantan
- Hits: 17
KELANTAN OPEN WATER SDI SCUBA 2026 HIMPUNKAN PENGGIAT SELAMAN DI PULAU PERHENTIAN
- JBS Kelantan
- Hits: 17
PULAU PERHENTIAN, TERENGGANU | 14 Julai 2026 – Program Kelantan Open Water SDI Scuba 2026 anjuran Kelab Mendaki Terapul dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) telah berjaya dilaksanakan selama empat hari bermula 11 hingga 14 Julai 2026 di Pulau Perhentian, Terengganu.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas penyelaman skuba, prosedur keselamatan di bawah air, penggunaan peralatan selaman serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan memelihara ekosistem marin.
Seramai lima (5) orang pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan serta 15 orang ahli Kelab Mendaki Terapul telah menyertai program ini bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang selaman skuba di samping menyokong pembangunan sukan rekreasi dan aktiviti lasak dalam kalangan belia.
Sepanjang program, para peserta mengikuti sesi pembelajaran teori dan latihan amali yang dikendalikan oleh jurulatih bertauliah Scuba Diving International (SDI). Latihan ini memberi peluang kepada peserta memperoleh pengalaman menyelam di perairan terbuka secara selamat dan profesional.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil pengiktirafan dan buku log selaman kepada para peserta yang berjaya menamatkan Kursus Kelantan Open Water SDI Scuba 2026.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan penyertaannya pada masa hadapan sebagai medium melahirkan lebih ramai penyelam skuba bertauliah, khususnya dalam kalangan belia Kelantan. Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan dalam aktiviti rekreasi selaman bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal dan keyakinan diri, malah membentuk disiplin, semangat berpasukan serta rasa tanggungjawab dalam memelihara khazanah marin negara. Beliau juga berharap kerjasama erat antara Kelab Mendaki Terapul dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan akan terus diperkukuhkan bagi memperkasa pembangunan sukan rekreasi di negeri ini.
Turut hadir ialah Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, serta Encik Muhammad Fazrin bin Nor Rijam, Bendahari Kelab Mendaki Kelantan.
#KelabMendakiTerapul #JBSNKelantan #KBSMalaysia #KelantanOpenWater #SDIScuba2026 #PulauPerhentian #RekreasiAir #SelamanSkuba
