- JBS Kelantan
- Hits: 7
FLOORBALL BUKA LEMBARAN BAHARU ARENA SUKAN KELANTAN, 33 PESERTA SERTAI PROGRAM PENGENALAN
- JBS Kelantan
- Hits: 7
GUA MUSANG, 16 Jun 2026 – Program Pengenalan Sukan Baharu Floorball Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan pada 13 Jun 2026 bertempat di Gelanggang Futsal Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Kota Bharu. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan sebagai usaha memperkenalkan sukan floorball kepada masyarakat serta menggalakkan penglibatan belia dalam sukan baharu yang semakin berkembang di negara ini.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memperluaskan pendedahan terhadap pelbagai jenis sukan bagi melahirkan generasi belia yang aktif, berdaya saing dan mempunyai minat yang pelbagai dalam bidang sukan.Program ini telah disertai oleh seramai 33 orang peserta dari pelbagai daerah di Negeri Kelantan. Para peserta diberikan pendedahan mengenai asas permainan floorball termasuk peraturan permainan, teknik pengendalian kayu (stick), kemahiran asas serta sesi latihan praktikal di gelanggang.
Bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan dengan berkesan, program ini dikendalikan oleh tiga orang jurulatih berpengalaman daripada Persatuan Floorball Malaysia yang berkongsi ilmu dan pengalaman mereka kepada para peserta. Kehadiran jurulatih profesional tersebut memberi peluang kepada peserta untuk memahami sukan floorball dengan lebih mendalam melalui latihan secara teori dan praktikal.
Turut terlibat dalam program ini ialah Nurul Syifa binti Mohd Husni, wakil daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang, yang bersama-sama menyertai program bagi menimba pengetahuan dan pengalaman berkaitan pembangunan sukan floorball di peringkat komuniti.
Penganjuran program ini diharap dapat membuka ruang kepada pengembangan sukan floorball di Negeri Kelantan serta melahirkan lebih ramai atlet dan penggiat sukan yang berpotensi pada masa hadapan. Selain itu, program seumpama ini turut membantu memperkukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, persatuan sukan dan komuniti dalam usaha memajukan bidang sukan di negeri ini.
Syabas dan tahniah kepada semua peserta, jurulatih serta pihak penganjur yang telah menjayakan Program Pengenalan Sukan Baharu Floorball Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMADANI #RakanMuda #MalaysiaAktif
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
JBSNegara
belia.my
