PROGRAM INSPIRE I-TALENT 2026 CUNGKIL BAKAT PERMATA SUKAN OKU PASIR PUTEH

PASIR PUTEH, 21 JUN 2026 – Seramai 33 orang peserta telah menyertai Program Inspire i-Talent Peringkat Daerah Pasir Puteh 2026 yang berlangsung pada 16 Jun 2026 yang lalu di SMK Seri Aman dengan matlamat mengenal pasti bakat dan potensi asas keupayaan sukan dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

Program ini merupakan satu inisiatif penting dalam usaha memperkasakan pembangunan sukan inklusif serta menggalakkan penglibatan golongan OKU dalam bidang sukan secara lebih aktif dan berterusan. Melalui program ini, peserta berpeluang menjalani beberapa sesi ujian i-Talent yang dirangka khusus bagi mengenal pasti kecenderungan dan potensi mereka dalam pelbagai cabang sukan.
Antara ujian yang dijalankan ialah ujian antropometri, ujian lontaran bola keranjang, ujian lompat jauh berdiri, ujian keseimbangan statik, ujian ketangkasan 505 serta ujian larian 20 meter. Kesemua ujian ini dilaksanakan bagi mendapatkan data prestasi peserta yang boleh dijadikan asas pemilihan dan pembangunan atlet OKU pada masa hadapan.

Program turut diserikan dengan sesi ceramah dan perkongsian ilmu oleh wakil Majlis Sukan Negara (MSN), YM Raja Mazbudden bin Raja Muhamad, yang memberikan pendedahan mengenai pembangunan atlet dan laluan kerjaya dalam sukan prestasi tinggi. Selain itu, peserta turut mendapat inspirasi daripada perkongsian oleh Cikgu Mahmod Deraman yang menyentuh tentang kepentingan keyakinan diri dan penglibatan aktif OKU dalam sukan.

Majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Encik Amreezal bin Abdul Kadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, guru pengiring dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut serta berharap lebih ramai bakat baharu sukan OKU dapat diketengahkan untuk mewakili daerah, negeri dan negara pada masa hadapan.

Program Inspire i-Talent ini membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan tiada bakat yang tercicir, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan lebih ramai atlet OKU yang mampu mengharumkan nama Pasir Puteh dan Kelantan di persada sukan.

#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI

Taufik Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
Rakan Muda

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 30-06-2026, 15:57:00

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search