- JBS Kelantan
- Hits: 5
MERINGANKAN BEBAN MANGSA KEBAKARAN, 30 SUKARELAWAN RAKAN MUDA KOTA BHARU HULUR BANTUAN
- JBS Kelantan
- Hits: 5
KOTA BHARU, 16 Jun 2026 – Seramai 30 orang sukarelawan daripada belia di sekitar daerah Kota Bharu telah digerakkan bagi menjayakan Program Rakan Prihatin : Mobilisasi Sukarelawan Rakan Muda (Sosial & Pasca Bencana) untuk membantu mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapor, Kota Bharu.
Program kali ini memfokuskan kepada misi bantuan sosial dan pasca bencana bagi membantu mangsa kebakaran di sekitar kawasan tersebut. Kehadiran para belia ini membuktikan komitmen tinggi golongan muda dalam membantu masyarakat setempat yang sedang diuji musibah, sekali gus meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa. Turut sama hadir bagi memberikan sokongan dan menyertai gerak kerja kesukarelawanan tersebut ialah Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Kehadiran beliau jelas menyuntik semangat kepada para peserta untuk terus komited menabur bakti.
Program murni ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Majlis Daerah Kota Bharu dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). Melalui inisiatif ini, para sukarelawan bukan sahaja dapat berbakti kepada komuniti, malah dapat memupuk nilai murni, semangat perpaduan, dan jati diri yang kental selaras dengan matlamat Gaya Hidup Rakan Muda.
Sepanjang program berlangsung, kesemua 30 sukarelawan komited menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah membersihkan sisa runtuhan rumah yang terbakar, mengasingkan barangan keperluan serta menyantuni mangsa terlibat. Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi melahirkan lebih ramai belia yang prihatin, responsif, dan bersedia menabur bakti kepada negara.
Disediakan oleh : Urus setia Portal PBSD Kota Bharu
