'PRE-PITCHING PROJEK AGRO BELIA LESTARI @ RAKAN MAHIR

KOTA BHARU, 7 Jun 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu (PBSDKB) telah menganjurkan sesi Pre-Pitching Projek Agro Belia Lestari @ Rakan Mahir sebagai persiapan awal kepada peserta yang akan mewakili daerah Kota Bharu ke sesi pitching peringkat negeri.

Program ini bertujuan memperkukuhkan aspek pembentangan, pemantapan idea projek, penyediaan model perniagaan serta meningkatkan keyakinan peserta sebelum menghadapi sesi penilaian sebenar di peringkat negeri.

Bagi tahun 2026, projek yang telah dipilih mewakili Daerah Kota Bharu ialah Projek Pembiakan Kambing Kibas yang diusahakan oleh Kelab Belia Tunjong melalui Program Agro Belia Lestari @ Rakan Mahir. Projek ini dilihat mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang sebagai satu inisiatif keusahawanan belia yang mampan dan berdaya saing dalam sektor agromakanan.

Sesi pre-pitching ini telah mendapat khidmat panel profesional yang didatangkan khas daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Panel tersebut diketuai oleh Dr. Rosunifaezah Musa, Ketua Jabatan Teknologi, Fakulti Pengurusan Industri UMPSA. Turut bersama sebagai panel penilai ialah Dr. Nurhaizan binti Zainuddin, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri UMPSA dan Dr. Nur Syamimi, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri UMPSA yang berpengalaman dalam bidang pitching keusahawanan dan pembangunan projek.

Sepanjang sesi berlangsung, para panel telah memberikan pelbagai pandangan, cadangan penambahbaikan serta bimbingan profesional kepada peserta bagi memastikan pembentangan projek lebih tersusun, meyakinkan dan memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengerusi Kelab Belia Tunjong, En. Aiman, bersama wakil projek En. Muhammad Alif Aidil Amar bin Ramli yang telah membentangkan cadangan projek dan menjawab sesi soal jawab bersama panel.

Majlis telah dipengerusikan oleh Pn. Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu, yang menzahirkan penghargaan kepada pihak panel atas kesudian berkongsi kepakaran serta komitmen dalam membantu memperkukuhkan kualiti projek belia daerah ini. Beliau turut berharap agar sesi bimbingan seperti ini dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan peserta sekali gus melonjakkan potensi projek yang dibangunkan oleh belia untuk bersaing dengan cemerlang di peringkat negeri.

Penganjuran sesi pre-pitching ini membuktikan komitmen PBSDKB dalam memperkasakan pembangunan belia melalui program keusahawanan berasaskan pertanian serta menyokong agenda melahirkan usahawan belia yang berdaya tahan, inovatif dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Disediakan oleh : Urus setia Portal PBSD Kota Bharu

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 30-06-2026, 15:57:00

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search