- JBS Kelantan
- Hits: 6
KOTA BHARU CEMERLANG DI PENTAS ANUGERAH PERDANA BELIA NEGARA 2026
- JBS Kelantan
- Hits: 6
KOTA BHARU, 24 Mei 2026 – Daerah Kota Bharu terus melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih kemenangan dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 Peringkat Negeri Kelantan yang disampaikan sempena Festival Belia@ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2026.
Saudara Amir Firhan bin Rosli telah berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan bagi kategori Individu Lelaki hasil komitmen, kepimpinan serta penglibatan aktif beliau dalam pembangunan dan pemberdayaan belia di daerah ini.
Selain itu, kejayaan turut diraih oleh pertubuhan belia dari Kota Bharu apabila ABIM Kota Bharu berjaya merangkul Johan bagi kategori Pertubuhan/Persatuan menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti, kesukarelawanan serta aktiviti pemerkasaan belia yang memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Majlis penyampaian anugerah tersebut telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang sempena Festival Belia@ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang menghimpunkan pelbagai pengisian dan aktiviti pembangunan belia di peringkat negeri.
Turut bersama di pentas bagi meraikan kejayaan tersebut ialah Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu. Kejayaan ini membuktikan bahawa belia di daerah Kota Bharu sentiasa aktif, progresif dan komited dalam mendukung aspirasi pembangunan belia selaras dengan tema Hari Belia Negara 2026 iaitu “Menggerak Belia Madani”.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu akan terus komited dalam memastikan penglibatan aktif belia di semua peringkat umur melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan, kepimpinan, kesukarelawanan dan pemerkasaan belia secara berterusan. Usaha ini juga selaras bagi mencungkil serta menggilap potensi belia agar terus menjadi generasi yang progresif, berdaya saing dan mampu menjadi pemacu pembangunan masyarakat, negeri dan negara pada masa hadapan.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua penerima anugerah atas pencapaian yang membanggakan ini. Diharapkan kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada seluruh belia untuk terus aktif menyumbang idea, tenaga dan kepimpinan demi pembangunan masyarakat dan negara.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah atas kecemerlangan yang telah mengharumkan nama daerah Kota Bharu di peringkat negeri.
