- JBS Kelantan
- Hits: 11
LIGA SUKAN KOMUNITI DAERAH KOTA BHARU MERIAH, HIMPUN PULUHAN PASUKAN TEMPATAN BERENTAP DI KOMPLEKS BELIA DAN SUKAN NEGERI KELANTAN
- JBS Kelantan
- Hits: 11
KOTA BHARU, 17 Mei 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu telah berjaya menganjurkan Liga Sukan Komuniti (LSK) yang berlangsung dengan meriah bertempat di Gelanggang Terbuka Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Panji. Kejohanan yang diadakan pada hari 15 hingga 16 Mei 2026 itu melibatkan tiga acara sukan utama iaitu bola jaring, bola tampar, dan futsal.
Bagi acara bola jaring yang berlangsung pada hari Jumaat, sebanyak 12 pasukan dari sekitar Daerah Kota Bharu telah mendaftar dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan. Pasukan Putera Netballers dinobatkan sebagai johan selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam perlawanan akhir. Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta mock cheque, sijil, dan medal. Tempat naib johan dirangkul oleh pasukan USM KK yang menerima wang tunai RM300, manakala pasukan Dragon NC dan Wolves berkongsi kedudukan tempat ketiga bersama dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM200 berserta trofi iringan dan sijil.
Sementara itu, acara bola tampar yang diadakan pada hari Sabtu pula menyaksikan persaingan sengit daripada 16 pasukan yang datang dari sekitar daerah dan kawasan berhampiran. Pasukan Garuda Politeknik muncul sebagai juara selepas menewaskan pencabar mereka dalam aksi final yang mendebarkan, sekali gus membawa pulang hadiah utama bernilai RM500, mock cheque, sijil, dan medal. Kumpulan BEE VC menduduki tempat naib johan dengan membawa pulang RM300, diikuti pasukan Jawhead dan NOPAK VT yang diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bersama dengan ganjaran RM200 bagi setiap pasukan.
Turut mencuri tumpuan pada hari Sabtu ialah acara futsal yang turut menerima sambutan hangat dengan penyertaan sebanyak 16 pasukan. Pasukan Primer FC x PKINK membuktikan kehebatan mereka apabila bergelar juara selepas menewaskan pihak lawan dalam perlawanan akhir. Kejayaan tersebut membolehkan mereka menggondol hadiah wang tunai RM500 berserta mock cheque, sijil, dan medal. Pasukan KSKL terpaksa akur di kedudukan naib johan dengan menerima RM300, manakala pasukan Panji Legacy dan GOBB12 berkongsi kegembiraan di tempat ketiga bersama dengan membawa pulang RM200 berserta hadiah iringan. Majlis penyampaian hadiah bagi kesemua acara yang dipertandingkan telah disempurnakan oleh Puan Nor Farhana binti Che Ismail selaku Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu.
Pihak penganjur berharap agar program sukan seumpama ini dapat terus menjadi platform terbaik dalam menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti rekreasi. Di samping itu, usaha ini juga diharap mampu memupuk semangat perpaduan, mengeratkan hubungan silaturahim, serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.
