MENGGERAK BELIA – LEBIH 700 BELIA 'GEGARKAN' SMK PANGKAL KALONG, KETEREH PADA PROGRAM SEMARAK BELIA @HARI BELIA NEGARA PERINGKAT DAERAH KOTA BHARU 2026

KOTA BHARU, 9 Mei 2026 – Program Semarak Belia @Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Daerah Kota Bharu 2026 yang berlangsung di SMK Pangkal Kalong, Ketereh, melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan. Program dua hari yang bermula pada 8 hingga 9 Mei 2026 itu berjaya menghimpunkan seramai 700 orang belia dan menarik kehadiran lebih 300 pengunjung daripada komuniti setempat, sekali gus mencatatkan penglibatan luar biasa seramai 1,000 orang.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kota Bharu serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Kalong, Ketereh ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat "Menggerak Belia" melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang merangkumi aspek kecergasan, kreativiti, dan kemasyarakatan. Bagi golongan belia, pengisian program dimantapkan dengan aktiviti sihat seperti Senamrobik Belia Aktif, Fun Run Belia Madani dan Pertandingan Sukan e-Sport, Mobile Legend manakala aspek kemahiran diuji menerusi Pertandingan Gubahan serta Pertandingan Memasak. Tidak ketinggalan, acara santai seperti Basketball Shooting, Sukaneka Rakyat, dan Cabutan Bertuah turut menjadi daya tarikan utama peserta. Kehadiran gergasi industri kulinari tanah air, ADABI selaku penaja utama, memberikan impak luar biasa apabila tampil menaja sepenuhnya sumbangan hadiah dan cenderahati bagi menghargai para peserta.

Selain fokus kepada golongan muda, program ini turut memberi manfaat besar kepada komuniti setempat melalui Jualan Usahawan Belia Madani dan Jualan Rahmah Madani yang menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan. Penduduk sekitar juga mengambil peluang keemasan menyertai program Servis Minyak Enjin Motosikal secara percuma serta mengunjungi Pameran Agensi Kerajaan dan Swasta yang melibatkan pelbagai jabatan seperti Pejabat Kesihatan Daerah, FAMA, KPDN, PDRM, BOMBA, AADK, MY DIGITAL ID dan PENJARA serta institusi pendidikan seperti IKBN Bachok, IKBN Tanah Merah, UNITAR Kota Bharu, Politeknik Kota Bharu, ADTEC Kota Bharu dan Kolej Komuniti. Turut bersama menyertai program ini adalah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Majlis Belia Daerah Kota Bharu (MDB KB), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gerakan Belia 4B Cawangan Kota Bharu.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Wan Ahmad Syazrul bin Wan Abdul Rahim, Ketua Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan), Pejabat Jajahan Kota Bharu. Turut hadir mengiringi beliau ialah Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu bersama Encik Muhammad Ruzaini Aiman Bin Mohd Ruzlan, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kota Bharu serta Encik Mohd Jailani bin Abdul Sukor, Pengetua SMK Pangkal Kalong selaku tuan rumah.

Dalam ucapan perasmiannya, Encik Wan Ahmad Syazrul memuji inisiatif penganjur dalam menyatukan elemen pembangunan belia dengan keperluan komuniti. Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta seperti Adabi, Yakult dan Extra Joss dalam program ini membuktikan komitmen jitu semua pihak dalam mendokong aspirasi Malaysia Madani. Kejayaan penganjuran di SMK Pangkal Kalong, Ketereh ini bukan sahaja menonjolkan potensi belia di peringkat akar umbi, malah memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat di jajahan Kota Bharu.

Disediakan oleh :
Urus setia Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 30-06-2026, 15:57:00

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search