- JBS Kelantan
- Hits: 16
MELAHIRKAN PEMIMPIN BAHARU ARPRM BAGI PERKASA PELAKSANAAN ANUGERAH REMAJA DI SEKOLAH
- JBS Kelantan
- Hits: 16
PASIR PUTEH, 9 JUN 2026 – Dalam usaha memperkukuh pelaksanaan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) di peringkat sekolah, dua orang guru dari daerah Pasir Puteh telah menyertai Bengkel Pemimpin Baharu ARPRM Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung pada 4 hingga 6 Jun 2026 di Cabana Cafe & Campsite, Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.
Guru yang terlibat ialah Cik Nur Fatihah binti Abdul Hadi dari SMK Kamil dan Cik Intan Arisya binti Arma dari SMK Bukit Jawa, bakal memainkan peranan sebagai pemimpin baharu ARPRM di sekolah masing-masing.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta telah diberikan pendedahan menyeluruh mengenai konsep, falsafah dan hala tuju ARPRM sebagai sebuah program pembangunan remaja yang menekankan pembentukan sahsiah, kepimpinan, daya tahan serta semangat kesukarelawanan. Mereka turut mengikuti sesi latihan berkaitan tatacara pendaftaran peserta baharu, pengurusan rekod dan dokumentasi, pemantauan aktiviti serta kaedah pelaksanaan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Selain itu, bengkel ini turut memberi penekanan kepada peranan pemimpin dalam membimbing peserta melaksanakan komponen-komponen ARPRM seperti khidmat masyarakat, pembangunan kemahiran, aktiviti rekreasi fizikal dan penjelahan lasak, sekali gus memastikan perjalanan program dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan di peringkat sekolah.
Penyertaan kedua-dua guru ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan pelaksanaan ARPRM di sekolah, di samping meningkatkan penyertaan pelajar dalam program pembangunan kendiri yang mampu melahirkan generasi remaja berilmu, berdaya saing, berintegriti dan mempunyai semangat kepimpinan yang tinggi.
Melalui pendedahan dan ilmu yang diperoleh sepanjang bengkel, kedua-dua pemimpin baharu ini diyakini mampu menggerakkan pelaksanaan ARPRM dengan lebih aktif serta menjadi pemudah cara dalam melahirkan lebih ramai penerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di daerah Pasir Puteh.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
Rakan Muda
