FESTIVAL BELIA @ HARI BELIA NEGARA PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2026 MERIAH DAN PENUH WARNA

KOTA BHARU, 23 Mei 2026 – Festival Belia @ Hari Belia Negara (FB@HBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 22-23 Mei 2026 di AEON Mall, Kota Bharu telah berjaya menghimpunkan golongan belia dari seluruh negeri dalam suasana penuh meriah, aktif dan bertenaga.

Penganjuran festival ini menampilkan pelbagai pengisian menarik yang memberi fokus kepada pembangunan belia secara holistik menerusi empat segmen utama iaitu segmen penciptaan dan peluang pekerjaan, segmen kepimpinan dan kesukarelawan, segmen Malaysia Aktif serta segmen kebudayaan, kesenian dan muzik.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, jualan usahawan belia, sukan rekreasi, e-sukan, pertandingan kebudayaan, persembahan seni serta pelbagai aktiviti interaktif yang berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat khususnya golongan belia.

Antara acara yang mendapat sambutan luar biasa ialah EDstore Neon Fun Walk yang berlangsung dalam suasana penuh ceria dan berwarna-warni. Program berjalan malam tersebut berjaya menarik penyertaan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, keluarga dan komuniti setempat.

Majlis kemuncak festival diteruskan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Hadir sama Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelatan, Sdr. Khairul Azahar bin Kamaruzaman, Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan dan En. Shamsuhaimie bin Nasir, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara. Turut berlangsung ialah Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 yang mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan belia dalam pembangunan masyarakat. Anugerah tersebut melibatkan tiga kategori utama iaitu kategori pertubuhan belia, individu lelaki dan individu wanita sebagai penghargaan kepada belia yang aktif serta cemerlang dalam pelbagai bidang.

Festival turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik kepada para pengunjung dan peserta. Hadiah utama berupa sebuah motosikal elektrik Lion G1 EV merupakan sumbangan JDMH Autopro Sdn. Bhd. Selain itu, sebuah televisyen 72 inci tajaan EDstore, sebuah peti ais tajaan By Chefiza serta 2 gram gold bar tajaan Public Gold PG1M Millionaires turut menjadi antara hadiah utama yang dinanti-nantikan.

Penutup Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 diserikan dengan Malam Yaya Empire selaku penaja utama program yang menampilkan persembahan artis-artis terkenal tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Ameng Spring, Azmani Kulit, Ezeri Layang Putih dan Adam ZBP. Persembahan tersebut berjaya menarik ribuan pengunjung dan menutup tirai festival dalam suasana penuh meriah serta menghiburkan.
Penganjuran festival ini diharapkan dapat terus menjadi platform terbaik dalam memperkasa pembangunan belia, mencungkil bakat dan potensi anak muda serta memperkukuhkan hubungan antara belia dan masyarakat di Negeri Kelantan.

#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMADANI #RakanMuda #MalaysiaAktif #HBN2026 #MenggerakBeliaMadani

Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
JBSNegara
belia.my

Disediakan Oleh : Urus Setia Media Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 30-06-2026, 17:24:53

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search