- JBS Kelantan
- Hits: 43
BACHOK GEGAK DENGAN MISI HIJAU! BELIA KELANTAN SERTAI PROJEK PLANET RAKAN MUDA 2026 DI PANTAI IMPIAN
- JBS Kelantan
- Hits: 43
Bachok, 27 April 2026 – Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Negeri Kelantan 2026 telah berlangsung dengan meriah di Pantai Impian, Bachok hari ini, dengan penyertaan aktif belia dari seluruh negeri.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Zaki bin Yusoff, Ketua Jajahan Bachok, bersama Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kesedaran dan tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda, serta menyeru golongan belia agar terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan kelestarian alam sekitar melalui amalan gaya hidup hijau dan mesra alam.
Program ini merupakan inisiatif di bawah Rakan Muda Rakan Bumi yang bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar serta memperkasa peranan belia melalui pelbagai pengisian berimpak. Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah plogging (aktiviti larian sambil mengutip sampah) dan penanaman pokok rhu sebagai usaha memulihara kawasan pesisir pantai.
Selain itu, turut diadakan penyerahan sebanyak 200 benih pokok daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan kepada para pengunjung sebagai galakan untuk menyemai amalan penghijauan dalam komuniti.
Turut hadir ialah Encik Hasanul Hariz bin Ab. Llah Zawawi, Timbalan Ketua Jajahan Bachok; Encik Aiman Hafiy bin Abdullah, Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Masyarakat); Puan Melati binti Yusof, Penolong Pengarah (Perancangan dan Pengurusan), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Hadir sama, Puan Nadia binti Mat Isa, Pengarah Urusan Yaya Nadia Empire; Encik Sazli bin Mahmood, Ketua Bahagian Rakan Muda; serta penampilan artis jemputan seperti Afiq Shazwan, Trio Latah, Adam ZBP dan Padil Turbo yang turut memeriahkan program.
Penganjuran program ini turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Vokasional Kelantan serta Institusi Kemahiran Tinggi Negara (IKTN) Bachok atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Kehadiran pegawai-pegawai kerajaan, wakil agensi, sukarelawan serta para peserta daripada pelbagai latar belakang mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
Program ini bukan sekadar aktiviti kesukarelawanan, malah menjadi simbol kesedaran dan tindakan kolektif dalam memelihara alam sekitar. Usaha seperti ini diharapkan mampu menyemai budaya cintakan alam dalam diri setiap individu serta menjadi pemangkin kepada gerakan belia yang lebih aktif dan berdaya saing dalam menjayakan agenda kelestarian alam pada masa hadapan.
#RakanMuda #RakanBumi #KelantanLestari
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan
#MalaysiaMADANI #MalaysiaAktif
#RakanMuda #RakanBumi #KelantanLestari
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMADANI #RakanMuda #MalaysiaAktif
Taufiq Johari
Mordi BimoL
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
JBSNegara
belia.my
Disediakan Oleh : Urus Setia Media Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
