PBSD KOTA BHARU LAWAT PUSAT INTERAKSI BELIA DI PPR KOTA BHARU, PERKASA INISIATIF PEMBANGUNAN BELIA SETEMPAT.

KOTA BHARU, 20 April 2026 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kota Bharu telah mengadakan satu lawatan rasmi ke Pusat Interaksi Belia yang bakal ditubuhkan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu. Lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau secara dekat kaedah pengoperasian pusat berkenaan yang bakal menjadi hab aktiviti bagi komuniti muda setempat.

Delegasi PBSD Kota Bharu diketuai oleh Puan Nurul Asmad Bt. Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu bersama Encik Syed Abdul Aziz Engku Chik Abdullah, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu disambut oleh Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kota Bharu, Saudara Aqil Iqbar.

Pusat Interaksi Belia ini merupakan sebuah projek rintis hasil kerjasama strategik antara ABIM Cawangan Kota Bharu dan Adab Youth Garage (AYG). Inisiatif ini diwujudkan sebagai usaha bersepadu untuk memperkasa pembangunan belia di kawasan perumahan padat, sekali gus memastikan golongan tersebut tidak tercicir daripada menerima akses kepada program pembangunan modal insan yang berkualiti.

Dalam sesi lawatan tersebut, Puan Nurul Asmad Bt. Che Harun menyifatkan usaha yang diambil oleh ABIM Cawangan Kota Bharu dan Adab Youth Garage (AYG) sebagai satu langkah proaktif yang sangat diperlukan dalam mendepani cabaran sosial masa kini. Menurut beliau, kewujudan pusat seperti ini bukan sahaja menyediakan ruang santai yang sihat, malah berfungsi sebagai platform untuk mencungkil bakat kepimpinan dan kemahiran teknikal belia di peringkat akar umbi.

Sementara itu, YDP ABIM Cawangan Kota Bharu, Saudara Aqil Iqbar menjelaskan bahawa penubuhan pusat ini di kawasan PPR adalah bertujuan untuk mendekatkan aktiviti belia dengan kediaman mereka. Dengan adanya sokongan padu daripada pihak PBSD, beliau optimis pusat ini mampu menjadi model bagi pembangunan komuniti belia yang lebih holistik dan lestari pada masa hadapan.

Lawatan kerja ini diakhiri dengan perbincangan mengenai potensi kolaborasi program antara PBSD Kota Bharu dan pihak pengurusan Pusat Interaksi Belia bagi memastikan kelangsungan aktiviti yang lebih berimpak tinggi buat warga muda di Kota Bharu.

Disediakan oleh :
Urus setia Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 12-05-2026, 16:44:17

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search