Sukan Permotoran 4x4 Litecore Challenge Meriahkan Litar Motorcross Teluk Kerengga

Pasir Mas, 17 April 2026 – Program di bawah Dana Sukan Komuniti (DSK) telah berjaya menganjurkan kejohanan Sukan Permotoran 4x4 Litecore Challenge yang berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 April 2026 di Litar Motorcross Teluk Kerengga, Pasir Mas Kelantan.

Program anjuran Kelab Pancuan 4 Roda Sahabat Setia Rimba ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 60 pasukan dari pelbagai kawasan, sekali gus memeriahkan suasana serta menyemarakkan lagi pembangunan sukan permotoran di peringkat komuniti.

Majlis perasmian pembukaan trek telah disempurnakan oleh YDH CP Dato’ Haji Mohd Yusoff bin Mamat, Ketua Polis Kelantan. Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan terhadap penganjuran program sukan seperti ini yang mampu menjadi platform positif untuk belia serta memupuk semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan.

Pn. Hazmanita binti Che Hamid, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat turut hadir mewakili Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan pihak Jabatan Belia dan Sukan terhadap pembangunan sukan komuniti di Negeri Kelantan.

Turut memeriahkan program ialah YB. Rozi bin Muhamad , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, serta En. Mazlan bin Mohd Ariffin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, En. Saufi bin Ibrahim dan En. Mohd Sarimat bin Salleh dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat dan Pasir Mas.

Antara pengisian program termasuk cabaran trek lasak 4x4 yang menguji kemahiran pemanduan, ketahanan fizikal serta strategi peserta dalam mengharungi laluan mencabar. Program ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti peminat sukan permotoran.

Penganjuran program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet sukan permotoran serta memperkasa gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Disediakan oleh : Pegawai Media Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 12-05-2026, 16:44:17

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search