- JBS Kelantan
- Hits: 46
Memburu Ikon Belia : ADTEC JTM Kampus Kota Bharu Sedia Sahut Cabaran Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026
- JBS Kelantan
- Hits: 46
KOTA BHARU, 17 Mac 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kota Bharu terus menggiatkan usaha memperkasakan penglibatan belia di peringkat akar umbi melalui sesi perbincangan dan taklimat penyertaan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 yang berlangsung di Kolej ADTEC JTM Kampus Kota Bharu, hari ini.
Sesi taklimat tersebut telah diketuai oleh Pegawai Penyelaras daripada PBSD Kota Bharu, Encik Syed Abdul Aziz bin Engku Chik Abdullah, yang bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh mengenai kriteria dan prosedur pencalonan anugerah berprestij tersebut kepada warga institusi latihan kemahiran.
Kehadiran pihak PBSD telah disambut baik oleh Encik Kamarul Anuar bin Haron, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Pelajar & Latihan, ADTEC JTM Kampus Kota Bharu. Dalam pertemuan tersebut, pihak ADTEC menyatakan komitmen padu untuk menyertai saingan APBN bagi tahun 2026.
Menurut Encik Kamarul Anuar, pihaknya bersedia untuk menghantar sekurang-kurangnya tiga penyertaan bagi tahun ini sebagai tanda sokongan terhadap program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada PBSD Kota Bharu kerana sentiasa membuka peluang dan ruang kepada belia daripada Kolej ADTEC JTM Kampus Kota Bharu untuk menonjolkan bakat serta sumbangan mereka dalam platform nasional.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan kualiti penyertaan yang dihantar menepati piawaian yang ditetapkan, pihak Kolej ADTEC JTM Kampus Kota mengharapkan khidmat nasihat serta bantuan teknikal yang berterusan daripada pihak PBSD Kota Bharu dalam proses penyediaan dokumentasi dan profil calon.
Sementara itu, pihak PBSD Kota Bharu berharap agar langkah yang diambil oleh Kolej ADTEC JTM Kampus Kota ini menjadi pemangkin kepada institusi-institusi setempat yang lain. Sasaran utama adalah untuk melihat lebih banyak lagi penglibatan daripada pelbagai organisasi belia dan institusi pendidikan di daerah ini bagi menyertai APBN 2026, sekali gus melahirkan lebih ramai ikon belia yang berwibawa di Kelantan.
Disediakan oleh : Urus setia Portal PBSD Kota Bharu
