- JBS Kelantan
- Hits: 34
Sinergi Kerohanian Dan Integriti : Warga JBSN Kelantan Jayakan Perhimpunan Bulanan Dan Program Ihya’ Ramadan 1447H
- JBS Kelantan
- Hits: 34
KOTA BHARU, 16 Mac 2026 – Dalam usaha menyemarakkan keberkatan bulan al-Mubarak di samping memperkukuh tadbir urus organisasi, Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Kelantan telah menganjurkan Perhimpunan Bulanan Bil. 2/2026 yang dilaksanakan serentak dengan Program Ihya’ Ramadan 1447H. Majlis yang penuh bermakna ini berlangsung pada 15 Mac 2026 bertempat di Dewan Malaysia, JBSN Kelantan.
Perhimpunan kali ini mempamerkan semangat kebersamaan yang jitu dengan kehadiran penuh barisan pegawai serta kakitangan dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kota Bharu, yang bersama-sama menyahut seruan integrasi jabatan di bawah satu bumbung. Majlis dimulakan dengan penyampaian ucapan amanat oleh Ybrs. Encik Mohd Saipuddin Bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Dalam ucapannya, beliau menitipkan pesanan buat seluruh warga kerja agar sentiasa memperkukuh semangat kerja berpasukan serta menjulang tinggi nilai integriti dalam melaksanakan amanah. Beliau turut menyeru agar bulan Ramadan ini dijadikan medan transformasi untuk meningkatkan nilai kerohanian tanpa menjejaskan produktiviti, malah seharusnya menjadi pemangkin kepada kualiti kerja yang lebih cemerlang.
Bagi mengisi pengisian jiwa, program diteruskan dengan ceramah penghayatan Ramadan bertajuk “Memburu Lailatul Qadar” yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Al-Fadhil Ustaz Nik Mohd Afif Azhan. Sesi perkongsian ilmu tersebut memberi penekanan khusus terhadap keagungan malam Lailatul Qadar serta amalan-amalan afdal yang boleh diamalkan bagi meraih ketakwaan yang hakiki. Slot ini berjaya memberi impak mendalam kepada warga jabatan dalam mendalami erti penghayatan ibadah yang lebih berkualiti. Menariknya, majlis turut diserikan dengan aktiviti kebersamaan melalui sesi rakaman video ucapan Aidilfitri dan Rakaman Takbir Raya oleh Pengarah bersama para pegawai. Inisiatif kreatif ini bertujuan sebagai persiapan awal sambutan Syawal jabatan, sekali gus mencerminkan sisi ceria dan ukhuwah warga JBSN Kelantan.
Sebagai kemuncak program, seluruh warga jabatan berkumpul bagi menjayakan majlis Iftar Perdana JBSN Kelantan. Sesi berbuka puasa ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, malah menjadi platform utama dalam mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kekeluargaan yang erat dalam kalangan warga jabatan. Program yang menggabungkan elemen rasmi dan kerohanian ini berakhir dengan penuh harmoni, mencerminkan kesediaan JBSN Kelantan dan PBSD Kota Bharu untuk terus melangkah sederap dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti belia dan sukan, berteraskan nilai-nilai murni yang diperolehi sepanjang bulan suci ini.
Disediakan oleh : Urus setia Portal PBSD Kota Bharu
