- JBS Kelantan
- Hits: 41
Dari Kota Bharu Ke Rantau Panjang : Wakil Kota Bharu Seri Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Khatam Al Quran Peringkat Negeri Kelantan 2026
- JBS Kelantan
- Hits: 41
RANTAU PANJANG, 12 Mac 2026 – Tirai Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan (Tadarus Al-Quran) bagi Peringkat Daerah Kota Bharu akhirnya dilabuhkan dengan penuh takzim. Penutup tirai bagi program kerohanian yang berprestij ini menyaksikan satu (1) mobilisasi besar-besaran apabila delegasi dari Kota Bharu bergerak menuju ke daerah Pasir Mas bagi menyertai acara kemuncak di peringkat negeri. Seramai 100 orang peserta yang mewakili Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kota Bharu telah hadir berkumpul di Masjid Jamek Jubli Perak, Rantau Panjang bagi menjayakan Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Khatam Al Quran Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang menghimpunkan anak muda dari segenap pelosok negeri. Program ini merupakan simbol penyatuan belia dari 10 buah daerah di seluruh Kelantan yang bersatu hati di bawah naungan kalam suci Al-Quran.
Delegasi Kota Bharu yang hadir terdiri daripada gabungan mantap pelajar dan belia daripada institusi pendidikan serta komuniti setempat, iaitu Pelajar ADTEC JTM Kota Bharu, MRSM Pasir Tumboh, Maahad Tahfiz Darul Ulum Al Furqani serta wakil belia dari Surau Al Falah, Kota Jembal. Kepelbagaian latar belakang ini adalah daripada aliran kemahiran, akademik perdana dan aliran tahfiz sehinggalah kepada aktivis surau kariah, membuktikan bahawa program Rakan Muda berjaya merentasi sempadan institusi dalam membentuk sahsiah peribadi belia yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi..
Suasana di dalam Masjid Jamek Jubli Perak bertukar hening dan syahdu apabila alunan ayat-ayat suci Al-Quran mula bergema sebelah petang, dibaca dengan penuh tertib oleh para peserta dari seluruh daerah. Program ini secara tidak langsung berjaya mengangkat martabat institusi masjid sebagai pusat kecemerlangan belia, sekali gus menepis persepsi bahawa aktiviti masjid hanya terhad kepada golongan veteran sahaja.
Majlis Perasmian Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Khatam Al Quran Peringkat Negeri Kelantan ini telah disempurnakan oleh Ybrs. Encik Fazrul Azan B. Basari, Ketua Jajahan Pasir Mas. Turut hadir bersama mengiringi beliau ialah Encik Mohd Saipuddin B. Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Manakala Puan Nurul Asmad Binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu turut bersama-sama di barisan hadapan bagi memberikan sokongan moral kepada para peserta. Sinergi barisan kepimpinan ini jelas mempamerkan komitmen jitu dalam memastikan aspirasi belia Madani yang dekat dengan institusi masjid terus mekar dan diperkukuh. Sebagai pelengkap kepada keberkatan majlis, atur cara diakhiri dengan aktiviti Iftar Perdana masyarakat setempat. Slot berbuka puasa beramai-ramai ini menjadi medan terbaik buat para peserta dan tetamu jemputan untuk beramah mesra dalam suasana kekeluargaan yang erat sebelum berangkat pulang. Majlis berakhir dengan penuh kemeriahan namun tetap dalam suasana yang tertib. Dengan berakhirnya majlis khatam dan iftar di peringkat negeri ini, diharapkan agar benih-benih kecintaan terhadap Al-Quran yang telah disemai akan terus mekar dan menjadi panduan hidup buat para peserta.
Disediakan oleh : Urus setia Portal PBSD Kota Bharu
