Adabi Santuni Belia Kota Bharu : Perkasa Kerjasama Strategik Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Kota Bharu 2026

KOTA BHARU, 11 Mac 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu hari ini menzahirkan penghargaan buat syarikat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (ADABI) yang tampil sebagai rakan penaja melalui sumbangan produk keluaran mereka bagi menjayakan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Kota Bharu 2026.

Program yang sedang berlangsung ini memfokuskan sepenuhnya kepada aktiviti Tadarus Al-Quran dan Majlis Iftar dengan melibatkan seramai 130 orang peserta secara keseluruhan di semua lokasi program. Para peserta yang terdiri daripada golongan belia berumur antara 13 hingga 30 tahun ini telah menunjukkan komitmen tinggi dalam mengimarahkan bulan suci Ramadan di empat lokasi tumpuan utama iaitu Surau As-Syakirin (ADTEC JTM Kota Bharu), Surau Al-Muttaqin (MRSM Pasir Tumboh), Surau Maahad Darul Ulum Al-Furqani dan Surau Al-Falah (Kota Jembal).

Sumbangan produk daripada Adabi ini telah disalurkan bagi menyokong keperluan di lokasi-lokasi tersebut, sekali gus menjadi tanda sokongan korporat terhadap usaha murni para belia. Penglibatan 130 peserta ini mencerminkan keberkesanan inisiatif Rakan Muda dalam menarik minat anak muda kembali ke institusi surau dan masjid melalui pengisian rohani dan ukhuwah.

Hadir bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan bagi pihak syarikat ialah Puan Nur Atikah Shamsuddin, Pegawai Eksekutif Promosi Adabi. Beliau diiringi oleh Puan Nurul Asmad Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu yang turut hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan penaja sebagai tanda sokongan padu terhadap kolaborasi antara pihak swasta dan program pembangunan belia di peringkat daerah Kota Bharu.

PBSD Kota Bharu komited untuk terus memastikan setiap aktiviti Tadarus dan Majlis Iftar berjalan lancar sehingga tamat program. Kerjasama strategik bersama Adabi sebagai rakan penaja produk ini diharapkan dapat terus diperkukuh pada masa hadapan demi memperkasa sahsiah dan pembangunan belia di daerah ini.

Disediakan oleh : Urus setia Portal PBSD Kota Bharu

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 12-05-2026, 16:44:17

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search