- JBS Kelantan
- Hits: 27
Nando’s Malaysia Santuni Belia Kota Bharu, Semarakkan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan 2026
- JBS Kelantan
- Hits: 27
KOTA BHARU, 10 Mac 2026 – Semangat ukhuwah dan keprihatinan korporat terus mekar KOTA BHARU, 10 Mac 2026 – Semangat ukhuwah dan keprihatinan korporat terus mekar di bumi Serambi Mekah apabila syarikat restoran terkemuka, Nando’s Malaysia, tampil selaku Rakan Penaja bagi menyantuni golongan belia menerusi sumbangan juadah berbuka puasa. Inisiatif ini dilaksanakan khusus bagi menyokong kelancaran Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Kota Bharu 2026.
Sebagai rakan penaja strategik, Nando’s Malaysia komited dalam menyalurkan sumbangan juadah kepada para peserta tadarus Al-Quran yang terdiri daripada golongan anak muda berumur antara 13 hingga 30 tahun. Penglibatan syarikat ini merupakan manifestasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menghargai kesungguhan generasi muda yang memenuhi masa dengan aktiviti pengimarahan surau sepanjang bulan suci ini.
Majlis penyerahan sumbangan tajaan tersebut telah berlangsung dengan penuh mahabbah di dua lokasi tumpuan di Kota Bharu, iaitu Surau Maahad Darul Ulum Al Furqani dan Surau Al Falah, Kota Jembal. Kehadiran pihak penaja telah disambut baik oleh para peserta yang sedang mengikuti pengisian rohani di kedua-dua premis berkenaan.
Hadir bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan bagi pihak syarikat ialah Puan Asna Izzati Hashim, Pengurus Nando’s Malaysia cawangan Kota Bharu. Beliau diiringi oleh Puan Nurul Asmad Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu, yang turut hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan penaja sebagai tanda sokongan padu terhadap kolaborasi antara pihak swasta dan program pembangunan belia di peringkat daerah Kota Bharu.
Sumbangan juadah daripada Nando’s Malaysia ini bukan sahaja bertujuan untuk memeriahkan majlis berbuka puasa, malah berfungsi sebagai suntikan semangat kepada para peserta Tadarus Al-Quran. Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan ini dilihat sebagai platform terbaik untuk mendekatkan belia dengan institusi masjid, manakala sokongan daripada rakan penaja seperti Nando's membuktikan sinergi yang utuh antara sektor perniagaan dan aktiviti kemasyarakatan.
Melalui peranan sebagai rakan penaja, Nando’s Malaysia menzahirkan iltizam untuk terus menjadi sebahagian daripada penggerak aktiviti positif buat komuniti setempat. Diharapkan agar sumbangan ikhlas ini dapat menyemarakkan lagi syiar Islam dan memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kerja Nando’s dengan penduduk di sekitar Kota Bharu, khususnya golongan belia.
Disediakan oleh : Urus setia Portal PBSD Kota Bharu
