- JBS Kelantan
- Hits: 53
Program KLAS Renang Peringkat Daerah Kota Bharu Perkasa Penglibatan Kanak-Kanak B40 Dalam Sukan Akuatik
- JBS Kelantan
- Hits: 53
KOTA BHARU, 10 Januari 2026 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu telah berjaya menganjurkan Program KLAS Renang KBS Peringkat Daerah Kota Bharu selama dua hari bermula pada 9 hingga 10 Januari 2026 bertempat di Kelantan Golf Country Club (KGCC) Kota Bharu, dengan penyertaan seramai 80 orang kanak-kanak daripada golongan B40.
Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan awal serta meningkatkan penguasaan kemahiran asas renang dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah. Inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam membudayakan gaya hidup sihat, memupuk disiplin diri serta membentuk keyakinan dan sahsiah positif dalam kalangan generasi muda. Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti modul latihan secara berperingkat yang merangkumi teknik asas renang, aspek keselamatan di dalam air serta latihan pembentukan keyakinan diri. Pendekatan latihan yang sistematik dan menyeluruh ini bertujuan memastikan setiap peserta memperoleh asas renang yang betul dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Renang Kelantan yang menyediakan khidmat jurulatih berpengalaman dan bertauliah. Pemantauan rapi turut dijalankan sepanjang program bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan peserta serta keberkesanan latihan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Selain meningkatkan kemahiran asas renang, program ini turut berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu dalam sukan renang di peringkat akar umbi. Melalui penganjuran program seperti ini, kanak-kanak daripada golongan B40 diberi peluang untuk mengembangkan potensi diri dan seterusnya menceburi bidang sukan akuatik secara lebih serius pada masa hadapan.
Majlis penutup program telah disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta oleh Puan Siti Hasiah Binti Hussin, Pegawai Kecergasan Nasional, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Disediakan oleh : Urus setia Portal PBSD Kota Bharu
