Program Akademi Mycorps-Borneo Berjaya Tingkatkan Kesejahteraan Komuniti Setempat

TUMPAT, 25 Januari 2026 – Program Akademi MyCorps-Borneo telah melabuhkan tirainya dengan jayanya menerusi Majlis Penutup yang berlangsung pada 24 Januari 2026 bertempat di perkarangan Masjid Mukim Selehor, dalam suasana penuh harmoni dan bermakna.

Program ini dianjurkan dengan objektif untuk membentuk jati diri peserta melalui penerapan nilai kesukarelawanan, kepimpinan dan keprihatinan sosial terhadap masyarakat setempat. Sepanjang tempoh pelaksanaan, para peserta telah melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti khidmat masyarakat yang memberi impak langsung kepada komuniti di sekitar Mukim Kok Pasir dan kawasan sekitarnya.

Antara projek utama yang berjaya dilaksanakan ialah kerja-kerja pembaikan Pondok KRT SRS Kg. Kok Pasir. Sebelum kerja pemulihan dijalankan, pondok tersebut berada dalam keadaan uzur dengan masalah kebocoran bumbung dan siling sehingga menyebabkan perabot rosak akibat titisan air hujan. Kawasan persekitaran juga kelihatan tidak terurus. Namun selepas kerja pembaikan dilaksanakan, struktur pondok telah dibaiki sepenuhnya melibatkan penggantian zink, siling dan lampu rosak serta penyegaran landskap, sekali gus menjadikan kemudahan tersebut kembali selesa dan selamat digunakan oleh komuniti setempat.

Selain itu, program ini turut melibatkan pemulihan Dewan Warga Emas di Pondok Tok Selehor, Tumpat. Keadaan dewan sebelum ini didapati uzur dengan kemudahan seperti kipas dan lampu yang tidak berfungsi serta cat bangunan yang pudar akibat faktor usia dan cuaca. Hasil usaha berpasukan para peserta, kerja-kerja pembaikan berjaya dilaksanakan merangkumi pembaikan kemudahan dalaman, pengecatan semula dinding dan tiang dewan serta pembersihan kawasan sekitar. Kini, dewan tersebut berada dalam keadaan lebih ceria, selamat dan selesa untuk kegunaan warga emas serta aktiviti komuniti.

Program Akademi MyCorps-Borneo juga memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan Tanah Perkuburan Islam Kg. Berlian. Sebelum pelaksanaan, kawasan perkuburan didapati mempunyai kemudahan yang usang seperti batu nisan dan papan tanda yang pudar serta landskap yang kurang terurus. Melalui inisiatif kesukarelawanan, kerja mengecat semula papan tanda dan batu nisan serta pembersihan dan penyusunan landskap telah dilaksanakan, menjadikan kawasan perkuburan lebih kemas, teratur dan selesa untuk pengunjung yang hadir bagi tujuan ziarah.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan khidmat kemanusiaan, malah turut menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam usaha pembangunan sosial dan komuniti. Komitmen tinggi serta semangat kerjasama berpasukan yang ditunjukkan oleh para peserta telah menjadi faktor utama kejayaan keseluruhan program ini.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mu’azamir bin Haji Jili, Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Turut hadir ialah Yang Berusaha Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan; Encik Sazli bin Mahmood, Ketua Bahagian Rakan Muda, JBSN Kelantan; Puan Hazmanita binti Che Hamid, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat; Encik Rudhuan bin Yusoff, Pengerusi JPKKP Mukim Kok Pasir; Encik Zakaria bin Yasad, Penghulu Mukim Kok Pasir serta Encik Othman bin Salam, Pengerusi KRT Mukim Kok Pasir.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Program Akademi MyCorps-Borneo. Diharapkan segala ilmu, pengalaman dan nilai murni yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta sebagai panduan dan bekalan dalam kehidupan seharian serta diteruskan dalam usaha kesukarelawanan pada masa hadapan.

Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysiaa
JBSNegara
belia.my
#rakanmudaofficial
#mycorps_alumni
#mycorpsacademy
#MyCorpsofficial

Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 01-04-2026, 15:51:40

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search