Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda 2025 : “Menyinar Harapan, Mengangkat Kepimpinan"

Tanah Merah, 19 November 2025 – Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Badan Operasi Pejabat Belia dan Sukan Daerah telah berjaya menganjurkan Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Perak dan Gangsa bertempat di Dewan Jubli Perak, Membangun Bersama Islam, Majlis Daerah Tanah Merah hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Mazlan bin Yaacob, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan program ARPRM dalam membina generasi muda yang berkualiti, berdaya saing dan berwibawa. Beliau memetik:
“Kita sedang berdepan dunia yang berubah pantas — perkembangan teknologi, perubahan sosial, cabaran ekonomi dan keperluan kemahiran baharu. Dalam suasana sebegini, belia perlu diperkasa dengan disiplin, ketahanan mental dan kemampuan menyesuaikan diri. Justeru itu, program seperti ARPRM amat penting kerana ia membentuk karakter, nilai kepimpinan dan daya tahan yang menjadi asas kejayaan seseorang dalam apa bidang sekalipun.”

Program ini bertujuan memberikan platform kepada para belia untuk mengasah kepimpinan, membina disiplin diri, dan meningkatkan nilai akademik serta sosial. Program ARPRM diiktiraf pada peringkat antarabangsa, menjadikannya satu platform yang mampu memberi nilai tambah kepada pemarkahan PAJSK pelajar, selain menyiapkan mereka menjadi pemimpin belia yang berkualiti di masa hadapan. Pentauliahan kali ini menyaksikan seramai 864 peserta berjaya ditauliahkan dengan Pingat Perak dan Gangsa, membuktikan semangat dan dedikasi belia Kelantan dalam mengembangkan potensi diri.

Turut hadir pada majlis ini ialah Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang hadir memberikan sokongan penuh kepada program, En. Mohd Zaidi bin Mohd Zin, Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah, Encik Sazli bin Mahmood, Ketua Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, semua Pegawai Belia dan Sukan Daerah serta pemimpin daripada Badan Operasi Daerah.

Ucapan penghargaan turut diberikan kepada Pengetua sekolah, Pengarah Politeknik Jeli, serta Pengarah Kolej Vokasional Kuala Krai dan Tanah Merah atas kerjasama, sokongan dan penglibatan aktif mereka dalam memastikan kelancaran program ini, serta membantu dalam mempersiapkan pelajar menghadapi pentas kepimpinan dan pembangunan diri.
Majlis yang meriah ini bukan sahaja menjadi platform pengiktirafan pencapaian belia, malah turut menonjolkan kepimpinan dan bakat generasi muda Kelantan, selaras dengan misi melahirkan pemimpin muda yang berkarakter, berdaya saing, dan mampu memacu pembangunan negara.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penerima ARPRM 2025 yang telah membuktikan potensi dan kecemerlangan mereka di pentas kepimpinan belia.

Disediakan oleh : Urus Setia Portal Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 02-12-2025, 13:13:59

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search