- JBS Kelantan
- Hits: 23
Kuala Krai Buktikan Potensi Diri Anak Muda Di Pentas ARPRM
- JBS Kelantan
- Hits: 23
TANAH MERAH, 19 November 2025 – Seramai 63 orang peserta dari Badan Operasi Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kuala Krai telah meraikan kejayaan cemerlang mereka dalam Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) yang telah diadakan di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Tanah Merah.
Dalam majlis tersebut, 61 orang peserta telah ditauliahkan dengan anugerah Gangsa, manakala 2 orang lagi menerima pengiktirafan anugerah Perak. Pencapaian ini menuntut komitmen tinggi daripada peserta. Untuk layak menerima anugerah, mereka perlu melengkapkan 4 komponen utama ARPRM, iaitu Penjelajahan Lasak, Khidmat Masyarakat, Rekreasi Fizikal, dan Kemahiran. Anugerah Gangsa memerlukan peserta menyelesaikan semua komponen dalam tempoh 3 bulan, manakala anugerah Perak memerlukan peserta menyelesaikan dalam tempoh 6 bulan.
2 penerima anugerah Perak daripada Kolej Vokasional Kuala Krai (KVKK) yang menjadi kebangaan ialah Mohamad Loqman Hakim bin Mohd Faisal dan Rafhaanah Maisarah binti Rahmat. Sesama di temui, Loqman Hakim berkongsi bagaimana ARPRM telah mengubah dirinya - "Melalui ARPRM ini, sudah tentu membantu saya untuk lebih yakin bersuara dan berani ke hadapan untuk melontarkan idea dan padangan. Selain itu, ARPRM mendedahkan saya bekerja dengan orang luar dengan pelbagai peringkat umur."
Mengulas kejayaan ini, Puan Rosnani binti Haji Abdullah Zawawi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai, menyatakan "ARPRM jelas menyerlahkan potensi belia dan memberi semangat kepada remaja lain untuk melaksanakan program ini. Harapan kami di PBSD Kuala Krai, dengan komitmen berterusan dari semua pihak, Pingat Emas akan tercipta di Badan Operasi PBSDKK pada tahun 2026," tegas beliau, membayangkan matlamat jangka panjang untuk pembangunan belia di Kuala Krai.
Majlis yang berlangsung meriah ini dihadiri oleh pemimpin-pemimpin ARPRM, guru-guru sekolah serta pelajar-pelajar daripada KVKK, Sek. Men. Keb. Sultan Yahya Petra 1, dan Sek. Men. Ugama (A) Darus Salam. Majlis pentauliahan ini telah disempurnakan oleh Encik Mazlan bin Yaacob Timb. Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) JPN Kelantan.
