Rakan Prihatin Siri 2: Semangat Kesukarelawanan Dan Keprihatinan Masyarakat Disemarak Di Bachok

BACHOK, 5 NOVEMBER 2025 – Program Rakan Prihatin: (Sosial dan Pasca Bencana) Peringkat Daerah Bachok Tahun 2025 – Siri 2 telah berlangsung dengan penuh bermakna di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pauh Lima baru-baru ini.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok dan Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman, Kampung Pauh Lima ini berjaya menarik penyertaan lebih 150 orang peserta terdiri daripada sukarelawan belia, pelajar universiti, penduduk kampung serta pasukan respon komuniti tempatan. Program ini menghimpunkan semangat kebersamaan antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan serta tanggungjawab sosial komuniti.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bachok, Puan Azma binti Yahya inisiatif Rakan Prihatin merupakan platform penting bagi melahirkan sukarelawan yang bukan sahaja prihatin terhadap kebajikan masyarakat, tetapi juga bersedia bertindak pantas ketika berlakunya bencana di peringkat komuniti. “Kita mahu masyarakat, khususnya golongan muda, memiliki kesedaran dan kemahiran asas dalam membantu komuniti ketika berdepan musibah. Semangat kesukarelawanan ini mesti dipupuk dari bawah, kerana kekuatan komuniti bergantung kepada keprihatinan bersama,” ujar beliau.

Timbalan Naib Chanselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Dr. Mohammad bin Ismail pula menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa dalam program sebegini amat bertepatan dengan agenda universiti dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai jiwa rakyat dan semangat kemanusiaan yang tinggi.

Penduduk tempatan menyambut baik kehadiran program ini yang disifatkan mampu merapatkan hubungan antara belia, pelajar universiti dan masyarakat kampung. “Kami rasa dihargai bila anak muda turun padang membantu. Ia bukan sekadar program, tapi lambang kasih sayang sesama insan,” ujar salah seorang penduduk, Encik Mat Isa, 62 tahun yang turut terlibat dalam gotong-royong tersebut.

Melalui penganjuran berterusan program Rakan Prihatin ini, Daerah Bachok terus memperkukuh jaringan kesukarelawanan dan membina komuniti yang lebih peka, bersedia dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.

#TeamKBS #TeamJBSN #SukanUntukSemua #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #RakanMuda #YakinBoleh

Hannah Yeoh
Adam Adli
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
Rakan Muda
belia.my

Disediakan Oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 02-12-2025, 13:13:59

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search