Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Tanah Merah Tahun 2025 Disambut dengan Penuh Meriah

Tanah Merah, 12 Oktober 2025 – Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Tanah Merah yang berlangsung pada 11 Oktober 2025 di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah telah berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat. Acara yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini disambut dengan penuh semangat dan meriah, mencerminkan komitmen tinggi warga Tanah Merah terhadap gaya hidup sihat dan perpaduan komuniti melalui sukan.

Program ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti Fun Walk Ria Madani, Senamrobik, Liga Penalti, Bola Jaring Shoot, Blind Penalti Football, Sukaneka Kanak-Kanak KEMAS, Pameran dan Jualan, Basketball 3 On 3, Combat Archery, serta aktiviti interaktif seperti Mari Mencuba, Soopa Doopa, Skill For Life, Bengkel Barber Dan Gunting Rambut Percuma. Kepelbagaian aktiviti ini telah berjaya menarik penyertaan aktif daripada golongan belia, keluarga dan kanak-kanak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Nor Azman bin Md Nawi, Timbalan Ketua Jajahan Tanah Merah. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sukan merupakan pemangkin kepada perpaduan masyarakat serta memainkan peranan penting dalam membentuk budaya hidup sihat yang berterusan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg Datuk Wan Rakemi Wan Zahari (Pengerusi Yayasan Mahsari Group), YBrs Tuan Hj Khairil Hazmie bin Yusof (Setiausaha Majlis Daerah Tanah Merah), YBrs En Wan Abd Rahman Bin Hj Wan Ismail (Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah), YBrs En Azhar Bin Kamarulzaman (Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Kelantan), dan YBrs En Mohd Hanif Fitri Bin Mohd Sawadi (YDP Majlis Belia Jajahan Tanah Merah).

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan kerjasama utama seperti Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah, Majlis Daerah Tanah Merah, Polis Daerah Tanah Merah, KEMAS Tanah Merah serta seluruh agensi awam dan negeri di daerah Tanah Merah. Sinergi antara agensi-agensi ini telah memastikan kelancaran penganjuran program dan memperkukuh semangat kerjasama komuniti setempat.

Penaja utama seperti Kain Tudung By CheFiza, RexCoco, Habib Elbie dan Bank Muamalat turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Diharapkan sambutan luar biasa ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif sukan komuniti di masa hadapan, sekaligus memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan rakyat Tanah Merah.

Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-02-2026, 15:28:53

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search