- JBS Kelantan
- Hits: 17
Program Jelajah Sukan Aktif Komuniti Orang Asli Di Pos Pasik Gua Musang
- JBS Kelantan
- Hits: 17
GUA MUSANG, 1 Oktober 2025 – Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah menganjurkan Program Jelajah Sukan Aktif Komuniti Orang Asli bertempat di Pos Pasik, Gua Musang. Program ini dianjurkan sebagai salah satu inisiatif memperkasa komuniti luar bandar khususnya masyarakat Orang Asli melalui aktiviti sukan, rekreasi dan gaya hidup sihat.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu menghimpunkan lebih 500 orang peserta terdiri daripada penduduk setempat, sukarelawan belia dan wakil dari pelbagai agensi. Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya sukan komuniti, pertandingan tradisional, sukaneka kekeluargaan, pameran kesihatan serta sesi motivasi kesukanan yang memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan gaya hidup aktif.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang turut sama menjayakan program ini dengan membawa penyertaan SATRIA Gua Musang seramai 10 orang belia. Kehadiran kumpulan ini bukan sahaja membantu menjayakan aktiviti, malah memberi peluang kepada mereka untuk turun padang bersama masyarakat Orang Asli dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara belia, agensi kerajaan dan komuniti luar bandar.
Majlis pelancaran program ini telah disempurnakan dengan kehadiran YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri bin Abdul Ghani, yang turut meluangkan masa bersama peserta serta menyampaikan ucapan penghargaan. Beliau menegaskan bahawa sukan merupakan medium terbaik untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, di samping membentuk disiplin, kerjasama berpasukan dan semangat juang dalam kalangan generasi muda.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli untuk melibatkan diri dalam aktiviti sihat, malah ia membuka ruang untuk mereka berinteraksi lebih rapat dengan agensi kerajaan dan NGO. Saya berharap ia dapat diteruskan di lokasi lain di daerah Gua Musang sebagai satu usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan masyarakat” katanya.
Selain aktiviti berbentuk sukan, penganjur turut menyelitkan sesi ramah mesra bersama komuniti setempat yang menjadi platform penting untuk mendengar cadangan, keperluan dan aspirasi masyarakat Orang Asli agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sosial dan sukan negara.
Program ini secara tidak langsung memperkukuh agenda inklusif Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, di samping membuktikan komitmen Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia dalam membawa manfaat terus kepada masyarakat akar umbi.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMadani #rakanmuda #RakanAktif #janjipeluh #DSK #danasukankomuniti
