- JBS Kelantan
- Hits: 2
Lawatan Pegawai RISDA Jajahan Gua Musang Ke Pejabat Belia Dan Sukan Gua Musang
- JBS Kelantan
- Hits: 2
GUA MUSANG, 7 September – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pegawai RISDA Jajahan Gua Musang, Encik Tuan Norihan @ Tuan Azhan bin Tuan Mat, dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua agensi.
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada jalinan kerjasama bagi penganjuran Program 1000 Liga – Acara Memanah (Individu) Peringkat Daerah Gua Musang Tahun 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober 2025 bertempat di Wisma Persekutuan Gua Musang.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Gua Musang, Encik Shahabuddin bin Haji Deraman, menyambut baik hasrat kerjasama ini serta menzahirkan penghargaan kepada RISDA kerana bersama-sama berganding bahu dalam memperkasakan aktiviti sukan di daerah ini.
“Kerjasama strategik seperti ini mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada pembangunan sukan memanah, tetapi juga dalam memperluaskan penglibatan belia dan masyarakat setempat dalam aktiviti sihat dan bermanfaat,” katanya.
Program 1000 Liga – Acara Memanah ini dijangka menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat serta menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan tradisi yang kian mendapat perhatian di peringkat daerah dan kebangsaan.
Penganjuran kejohanan ini juga seiring dengan usaha kerajaan memperkukuh sukan sebagai gaya hidup masyarakat, selain menyokong aspirasi membentuk generasi belia yang aktif, sihat dan berdaya saing.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #RakanMuda #RakanAktif #JanjiPeluh #DSK #danasukankomuniti