PROGRAM MY AKTIF @ KOMUNITI DI SMK PANJI SEMARAKKAN GAYA HIDUP SIHAT DALAM KALANGAN PELAJAR

KOTA BHARU, 31 Julai 2025 – Program MyAktif @ Komuniti terus mendapat sambutan yang menggalakkan apabila siri terbaharunya berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, Kota Bharu dengan melibatkan lebih 300 orang pelajar dan guru.

Program yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dengan kerjasama pihak sekolah ini menyasarkan golongan pelajar sebagai peserta utama bagi memupuk kesedaran awal mengenai kepentingan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Antara pengisian utama program adalah sesi senamrobik ceria yang dikendalikan oleh Puan Nor Hafidah binti Yatim, seorang instruktor bertauliah dan berpengalaman. Suasana bertambah meriah apabila pelajar-pelajar turut terlibat aktif dalam rutin senaman yang bertenaga dan sesuai dengan peringkat umur mereka.

Turut hadir mewakili Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu ialah Puan Nor Farhana binti Che Ismail, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, yang turut sama menyertai sesi senamrobik dan menyampaikan pesanan kepada para pelajar mengenai kepentingan membudayakan gaya hidup sihat sejak di bangku sekolah. Beliau turut menyatakan harapan agar lebih banyak sekolah tampil bekerjasama dalam menjayakan program seumpama ini sebagai sebahagian daripada usaha membentuk pelajar yang sihat, cergas dan berdisiplin.

Pihak SMK Panji turut menyatakan penghargaan dan sokongan penuh terhadap penganjuran program ini serta menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah bagi lebih banyak program pembangunan belia pada masa akan datang.

Program ini merupakan antara inisiatif berterusan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dalam memperluas akses komuniti terhadap aktiviti fizikal dan kesedaran kesihatan.

Disediakan oleh: Urus Setia Portal PBSD Kota Bharu

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 11:13:28

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search