KEM BELIA @RAKAN PRIHATIN DAERAH PASIR PUTEH LAHIRKAN GENERASI BERJATI DIRI DAN BERDAYA SAING

PASIR PUTEH, 10 OGOS 2025 – Program Kem Belia @Rakan Prihatin Daerah Pasir Puteh telah berlangsung dengan jayanya pada 3 hingga 5 Ogos 2025 bertempat di Permai Beach Resort, Bachok. Seramai 50 orang peserta telah menyertai kem ini yang menjadi medan membina sahsiah, memperkukuh jati diri, dan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.

Kem ini dianjurkan melalui kerjasama erat antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh serta Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih. Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti modul-modul padat seperti latihan kepimpinan, latihan dalam kumpulan (LDK), ceramah motivasi dan pelbagai aktiviti riadah serta fizikal.

Program ini bukan sekadar perkhemahan biasa tetapi medan latihan menyeluruh yang menggabungkan elemen pendidikan, disiplin, semangat berpasukan. Ia dirangka untuk memastikan setiap peserta membawa pulang nilai dan kemahiran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Shamsudin bin Haji Musa, Timbalan Pegawai PPD Pasir Puteh (Sektor Pembangunan Murid) dan turut dihadiri oleh Puan Masyitah Fadillah bt Rosdi, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh.

Dalam ucapannya, YBrs Tuan Haji Shamsudin menegaskan “belia adalah aset negara yang perlu diperkasakan dengan ilmu, disiplin dan sahsiah terpuji. Kem seperti ini menjadi wadah penting untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak dari segi akademik, tetapi juga berani, berdaya saing dan mempunyai intergriti yang tinggi. Saya berharap setiap peserta membawa pulang semangat yang sama untuk diaplikasikan disekolah, komuniti dan kehidupan seharian”.

Para peserta pulang dengan semangat baharu, jaringan persahabatan yang lebih erat serta komitmen untuk menjadi agen perubahan positif dalam masyarakat.

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search