- JBS Kelantan
- Hits: 21
PROGRAM RAKAN BUMI : PLOGGING KOMUNITI DAERAH PASIR PUTEH SIRI 1 DI ABENICK TRIGONA FARM SEMARAK KESEDARAN ALAM SEKITAR DAN WARISAN TRADISI
- JBS Kelantan
- Hits: 21
PASIR PUTEH, 10 OGOS 2025 – Program Rakan Bumi: Plogging Komuniti Daerah Pasir Puteh Siri 1 telah berjaya diadakan pada 2 Ogos 2025 yang lalu bertempat di Abenick Trigona Farm, Kampung Telipot, Pasir Puteh dengan penyertaan seramai 42 peserta. Program ini adalah kerjasama di antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Putih dan Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih. Program ini bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.
Acara dimulakan dengan aktiviti memanaskan badan sebelum peserta memulakan aktiviti plogging iaitu berjalan sambil mengutip sampah di sekitar kawasan kampung. Peserta juga turut berpeluang mengambil dan memotong buluh untuk digunakan dalam sesi memasak secara tradisional.
Program diteruskan dengan sesi teori dan praktikal berkaitan koloni madu kelulut yang dikendalikan oleh Saudara Nik Khairul Anuar bin Almuai atau lebih dikenali sebagai Abenick, pemilik Abenick Trigona Farm. Peserta didedahkan dengan pengetahuan tentang habitat, penjagaan serta potensi industri madu kelulut sebagai sumber ekonomi komuniti.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Encik Sazli bin Mahmood, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa program seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar, malah dapat mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti sihat dan bermanfaat. Beliau turut menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti berasaskan komuniti dan kelestarian alam bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Program ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada penglibatan berterusan komuniti dalam menjaga kebersihan persekitaran, memelihara khazanah alam dan menghidupkan kembali amalan tradisi tempatan.