- JBS Kelantan
- Hits: 27
JBS Vanguard FC Menang Sepakan Penalti ke atas Yaya Empire FC dalam Aksi Persahabatan di Padang Kombes Panji
- JBS Kelantan
- Hits: 27
Kota Bharu, 8 Ogos 2025 – Perlawanan persahabatan antara JBS Vanguard FC dan Yaya Empire FC di Padang Kombes, Panji berlangsung penuh semangat dengan aksi menarik daripada kedua-dua pasukan semalam.
Pertemuan seimbang ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri pada masa penuh. Bagi menentukan pemenang, perlawanan diteruskan dengan penentuan sepakan penalti yang menyaksikan JBS Vanguard FC muncul juara selepas menewaskan Yaya Empire FC dengan jaringan tipis dalam penentuan tersebut. Perlawanan ini diadakan bersempena Majlis Penyerahan Jersi Rasmi oleh penaja utama, PUC Sport, kepada kedua-dua pasukan – JBS Vanguard FC dan Yaya Empire FC. Penyerahan jersi tersebut menjadi simbol sokongan penaja terhadap pembangunan bola sepak setempat dan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan pemain.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan; Encik Mohd Fauzi bin Ismail, Pengarah Urusan PUC Sport; Puan Nadia binti Mat Isa, Pengarah Urusan Yaya Empire; serta artis terkenal tanah air, Ara Johari dan Afieq Shazwan, yang turut turun padang memberi sokongan kepada pasukan.
Turut sama memberi sumbangan penajaan ialah Extra Joss selaku penaja minuman rasmi, yang membekalkan minuman bertenaga kepada para pemain dan pegawai sepanjang perlawanan bagi memastikan tahap stamina kekal optimum. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang diketuai oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan, JBSNK selaku Pengerusi, bersama barisan Jawatankuasa yang hadir memberi sokongan padu sepanjang program berlangsung.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk terus menyokong penganjuran program persahabatan bola sepak sebagai usaha memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan perpaduan komuniti. Jabatan itu turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada PUC Sport, Yaya Empire, Extra Joss, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Kehadiran para VIP, penaja, kelab sukan, dan selebriti ini menyemarakkan lagi suasana, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemain, penyokong, dan komuniti setempat.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan