- JBS Kelantan
- Hits: 31
PELEPASAN TM RUN 7KM DAN 3KM DI BANDAR TANAH MERAH MERIAH DENGAN PENYERTAAN PENGARAH JBSNK
- JBS Kelantan
- Hits: 31
Tanah Merah, 2 Ogos 2025 – Acara TM Run yang berlangsung di Bandar Tanah Merah semalam mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dengan penyertaan dalam dua kategori utama iaitu larian 7 kilometer dan 3 kilometer.
Majlis pelepasan peserta TM Run ini disempurnakan oleh YBrs. Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK), En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, YBrs. En. Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin, Ketua Jajahan Tanah Merah dan Datuk Wan Rakemi bin Wan Zahari, Pengerusi Yayasan Mahsari turut serta memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta. Para VIP bersemangat turun berlari bersama peserta.
Acara yang bermula seawal pagi itu disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, keluarga, dan warga emas. TM Run bukan sahaja bertujuan untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat, malah turut menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan silaturrahim serta semangat kesukanan.
Menurut YBrs. En. Mohd Saipuddin, penganjuran program seperti ini sangat bertepatan dalam usaha menyemai budaya kecergasan dalam kehidupan harian. “Saya amat berbangga melihat sambutan luar biasa daripada penduduk Tanah Merah dan berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
TM Run 2025 di Bandar Tanah Merah ini telah berjaya mencipta suasana yang ceria dan penuh semangat, sekaligus menjadi satu lagi pencapaian positif dalam kalendar sukan komuniti negeri Kelantan. Tahniah kepada penganjur Yayasan Mahsari Cycling Club dan Yayasan Mahsari.
Disediakan Oleh: Urus Setia Portal Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan