- JBS Kelantan
- Hits: 33
PROGRAM SATRIA SIRI 1 KOTA BHARU MEMUPUK SEMANGAT KESUKARELAWAN SEJAGAT
- JBS Kelantan
- Hits: 33
KOTA BHARU, 14 Julai 2025 – Program Mobilisasi Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Siri 1 Peringkat Daerah Kota Bharu anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu telah berjaya dilaksanakan pada 27 Jun 2025, bertempat di Perkarangan Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian dan kawasan sekitarnya.
Program ini bertujuan untuk menyemai dan memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia, di samping memupuk rasa tanggungjawab sosial terhadap komuniti dan alam sekitar. Penganjuran ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu, Kelab Belia Tunjong, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Kota Bharu, serta institusi pendidikan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 3, Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan.
Program ini telah dirasmikan oleh Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pembudayaan nilai kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda bukan sahaja dapat melahirkan belia berakhlak mulia dan bertanggungjawab, malah mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat dan negara. “Belia hari ini bukan sahaja perlu bijak dalam akademik dan teknologi, tetapi juga sensitif terhadap isu kemasyarakatan dan sentiasa bersedia menyumbang tenaga demi kesejahteraan bersama,” ujar beliau.
Seramai 150 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sekolah, ahli NGO dan komuniti setempat telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan masjid dan persekitarannya, senam cergas, serta pameran kesihatan oleh agensi terlibat. Aktiviti ini bukan sahaja memberikan pendedahan praktikal kepada nilai kerjasama dan keprihatinan, tetapi turut menyemai semangat perpaduan antara belia dan masyarakat tempatan.
Program SATRIA ini menjadi landasan penting dalam mengaktifkan penglibatan belia dalam aktiviti berimpak tinggi serta memperkasa jaringan kesukarelawanan di peringkat akar umbi. Diharapkan usaha ini akan diteruskan dengan lebih banyak siri pada masa akan datang bagi menjadikan belia sebagai agen perubahan yang proaktif dan berintegriti.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal PBSD Kota Bharu