- JBS Kelantan
- Hits: 40
Kem Belia@Prihatin Daerah Kota Bharu Sangat Meriah
- JBS Kelantan
- Hits: 40
KOTA BHARU, 14 Julai 2025 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, telah merasmikan Kem Belia@ Rakan Prihatin Tahun 2025 yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 3 hingga 5 Julai 2025, bertempat di Pantai Cahaya Bulan Resort (PCB Resort), Kota Bharu, Kelantan. Program ini menghimpunkan seramai 50 orang belia dari pelbagai latar belakang dengan objektif memperkukuh nilai kendiri, tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Kem ini dirangka bertujuan untuk meningkatkan kesedaran belia terhadap matlamat hidup dan peranan mereka dalam masyarakat, membendung penglibatan dalam gejala sosial, mencetuskan pemikiran kritis serta menyemai nilai-nilai murni yang selaras dengan pembangunan belia positif. Modul khas yang digunakan dalam kem ini telah dibangunkan secara komprehensif meliputi 11 topik utama yang menekankan aspek kepimpinan, integriti, pengurusan emosi, kesedaran sosial dan tanggungjawab sivik. Kandungan modul ini disusun hasil kolaborasi strategik bersama agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH-KKM), Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS-UPM) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan dalam pembangunan belia dan komuniti.
Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan utama termasuk YB Zamakhsari bin Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan; YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nugulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan; YBrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN); Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan; serta Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu.
Penganjuran Kem Belia@ Rakan Prihatin ini mencerminkan usaha berterusan Kementerian Belia dan Sukan dalam melahirkan belia yang berwawasan, berdaya saing dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, seiring dengan aspirasi Dasar Belia Malaysia.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bahru