Dikir Barat - Nada Tradisi, Rentak Belia

KUALA KRAI, 19 JULAI 2025 – Program Rakan Muzik: Dikir Barat @Daerah Kuala Krai 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 14 hingga 16 Julai 2025 bertempat di Kolej Vokasional Kuala Krai, melibatkan penyertaan seramai 30 orang belia dari sekitar daerah ini. Program ini merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai dengan kerjasama Kolej Vokasional Kuala Krai dan Kelab Rakan Muda Bandar Kuala Krai (KRAMB2K).

Program ini memberi fokus kepada meningkatkan kesedaran dan minat belia terhadap seni dan budaya tempatan, serta menjadi salah satu platform kepada belia untuk menonjolkan bakat dan kreativiti mereka. Selain itu, ia turut mengukuhkan nilai-nilai murni dan identiti budaya dalam kalangan belia serta memupuk semangat perpaduan melalui aktiviti seni dan budaya yang berimpak tinggi. Sepanjang program, para peserta dibimbing oleh Encik Muhammad Hanif bin Awang @ Mohd Nawi, seorang tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang Dikir Barat. Peserta didedahkan kepada teknik nyanyian, paluan alat muzik, struktur persembahan serta disiplin persembahan seni secara praktikal dan intensif.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Tuan Haji Zailani Noor, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Kolej Vokasional Kuala Krai, yang turut menyatakan penghargaan terhadap usaha memperkasa seni tradisi dalam kalangan belia sebagai salah satu cabang ekspresi positif generasi muda hari ini. Inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat Dasar Belia Malaysia (DBM) yang memberi penekanan kepada pembangunan potensi belia secara menyeluruh merangkumi aspek pendidikan, kesenian, sosial dan kepimpinan. Program ini diyakini mampu melahirkan belia yang berakhlak mulia, berdaya saing di peringkat global serta menjadi agen perubahan yang menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search