Program Nature Explore Gunung Reng Serlahkan Komitmen JBSNK Terhadap Kelestarian Alam Dan Pembangunan Belia

Jeli, 19 Julai 2025 – Program Nature Explore 2025 yang berlangsung di Gunung Reng, Jeli hari ini telah disertai oleh YBrs. En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan sebagai sebahagian daripada rangka lawatan kerja beliau ke Daerah Jeli.

Program anjuran Persatuan Belia Gemilang Bukit Tok Ali, Kuala Balah dengan sokongan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli dan kerjasama pelbagai agensi tempatan ini bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan belia terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar melalui pendekatan rekreasi dan pendidikan luar. Program ini menggunakan Peruntukan Dana Sukan Komuniti (DSK).

Sepanjang program, peserta berpeluang menyertai aktiviti mendaki, eksplorasi gua, taklimat keselamatan serta sesi perkongsian ilmu berkaitan biodiversiti dan penjagaan ekosistem semula jadi. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membina semangat kerja berpasukan dan cinta alam dalam kalangan belia.

Dalam ucapannya, YBrs. Pengarah menekankan bahawa pembangunan sahsiah belia tidak hanya terhad kepada aspek akademik dan kemahiran, tetapi turut melibatkan nilai-nilai murni seperti tanggungjawab sosial dan kecintaan terhadap alam sekitar. Program ini diharapkan dapat menjadi inisiatif berterusan dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja aktif dan berdaya saing, malah turut cakna terhadap kelestarian alam semula jadi sebagai khazanah negara.

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 02-12-2025, 13:13:59

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search